Mohd Zin dan Mas Imran menyantuni anak-anak yatim di sekolah dan asrama anak-anak yatim Ehsas Yetim Foundation, Kabul, Afghanistan semalam.

JOHOR BAHRU – Selepas membantu mangsa perang Yemen dan Syria meneruskan hidup dan membina hidup baharu, Humanitarian Care Malaysia (MyCare) kini meneruskan misi kemanusiaannya ke Afghanistan.

MyCare dengan kerjasama Pasaraya Econsave membantu penduduk Afghanistan terutama kanak-kanak yang menjadi mangsa peperangan selepas konflik dan pencerobohan kuasa besar terutama Amerika Syarikat dan sekutunya.

Konflik bersenjata itu mengorbankan nyawa yang banyak malah perang berlarutan selama beberapa dekad hingga menyebabkan kehidupan mereka musnah dan hanya tinggal sehelai sepinggang.

Kanak-kanak tersebut kini ada yang ditempatkan di sekolah dan asrama anak-anak yatim dikelolakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sana terutama Human Assistance Society (HAS).

Penasihat MyCare Johor, Dr Mohd Zin Kandar berkata, mereka bergantung sepenuhnya terhadap bantuan daripada penderma dan rakan strategik mereka di luar negara, termasuk Malaysia.

Jelasnya, anak-anak yatim dan yatim piatu yang ditempatkan di asrama HAS terpaksa berpindah-randah ke wilayah lain mengikut perubahan musim.

“Ini terutama apabila tiba musim dingin, memandangkan Afghanistan mempunyai cuaca empat musim.

“Anak-anak yatim terbabit sangat mengharapkan bantuan daripada penyumbang untuk meneruskan hidup memandangkan sebahagian daripada mereka tiada lagi tempat bergantung,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu beliau mengunjungi dan menyampaikan bantuan buku dan alat tulis di asrama anak yatim Ehsas Yetim Foundation, di Kabul semalam.

Lawatan itu adalah sebahagian daripada aturcara Misi Kemanusiaan MyCARE-Econsave Afghanistan 2025 yang sedang berlangsung di beberapa wilayah di Afghanistan sehingga 24 Julai ini.

Misi kemanusiaan selama 10 hari yang bertujuan menyampaikan bantuan berjumlah kira-kira RM1 juta.

Ketika ini terdapat kira-kira tiga juta kanak-kanak dan remaja daripada keseluruhan 43.85 juta penduduk Afghanistan kini menjadi anak yatim atau yatim piatu akibat perang.

Sebahagian kanak-kanak dan remaja berkenaan yang rata-rata berusia di bawah 15 tahun, kini hidup semata-mata atas belas ihsan penderma termasuk penyumbang dari Malaysia, selepas bapa mereka terkorban dalam peperangan menentang tentera penceroboh.

Mohd Zin berkata, MyCare menyasarkan mengutip sumbangan kira-kira RM4 juta daripada rakyat Malaysia untuk membantu memulihkan sektor pendidikan, keluarga miskin, anak yatim dan melaksanakan program pemerkasaan ekonomi rakyat di Syria, Yaman dan Afghanistan.

Bantuan itu, katanya, dikutip menerusi tabung yang disediakan di semua premis Pasaraya Econsave di seluruh Malaysia.

Difahamkan setakat ini hasil kutipan sejak 2022, sebanyak RM2 juta sudah dihantar ke Yemen dan Syria manakala RM1 juta lagi kini sedang diagihkan ke Afghanistan.

Sementara itu, Pengurus Besar Econsave Johor, Mas Imran Adam berkata, kanak-kanak malang itu sewajarnya dibantu dalam apa juga bentuk bantuan sama ada material atau pendidikan kerana mereka adalah bakal pelapis pemimpin negara pada masa akan datang.

“Saya berharap rakyat Malaysia akan terus menghulurkan sumbangan bagi memulihkan kehidupan rakyat Afghanistan terutama anak-anak yatim dan keluarga miskin.

“Kita juga akan membina sebuah sekolah untuk anak-anak Afghanistan di Kabul pada tahun ini kerana kita berpandangan bahawa hanya melalui pendidikan sahaja akan dapat mengubah nasib keluarga dan rakyat negara ini pada masa akan datang,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast