KUANTAN – Seorang lelaki maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Tasik Bera, Jalan Felda Sebertak, Triang, Bera pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kemalangan kira-kira pukul 9.32 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Ativa dengan sebuah lori.
“Susulan menerima laporan mengenai kemalangan, sepasukan enam anggota penyelamat daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang bergegas ke lokasi.
“Didapati seorang lelaki yang merupakan pemandu kereta itu tersepit di bawah keretanya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pasukan bomba kemudian mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan menyelamat, namun mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi.
Tambah Zulfadli, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette
















