Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar bercakap kepada wartawan pada Majlis Perasmian Surau Ar Marjan di SMK Batu Muda, Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. Foto SADIQ SANI, 13 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar melahirkan rasa sedih dan bimbang terhadap serbuan perjumpaan yang dipercayai melibatkan aktiviti songsang di Kota Bharu baru-baru ini.

Dr Mohd Na’im berkata demikian selepas pasukan polis Kelantan baru-baru ini menyerbu hampir 100 gay di sebuah banglo di Jalan Kemunin, Kota Bharu yang turut membawa kepada rampasan ratusan kondom dan ubat HIV.

“Sebagai Menteri Hal Ehwal Agama, lebih-lebih lagi sebagai seorang ayah dan anggota masyarakat, saya merasai sendiri betapa besarnya cabaran akidah dan akhlak yang sedang dihadapi oleh generasi kita hari ini.

“Perbuatan seperti ini bukan sahaja jelas bercanggah dengan syariat Islam, bahkan menghina fitrah dan maruah insan yang diciptakan ALLAH SWT dalam bentuk sebaik-baiknya.

“Islam bukan agama kebencian, tetapi agama yang tegas dalam memelihara nilai dan martabat manusia,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Beliau berkata, perlakuan songsang seperti ini adalah satu kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah negeri-negeri.

“Sebagai contoh, di bawah Seksyen 28 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, mana-mana lelaki yang melakukan musahaqah atau liwat boleh dikenakan hukuman denda, sebatan dan penjara, jika sabit kesalahan.

“Undang-undang ini mencerminkan ketegasan negeri dalam menjaga akhlak umat Islam selaras dengan ajaran Islam,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata di dalam ketegasan menolak kemungkaran, umat Islam tidak boleh berputus asa dalam usaha membimbing.

“Kita tidak hanya mahu menghukum sebaliknya mahu menyelamatkan.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah lama melaksanakan pelbagai inisiatif khusus untuk menangani perkara-perkara sebegini.

“Ini termasuklah Program Mukhayyam (kini Kem Bimbingan Spiritual) untuk pemulihan rohani dan psikososial, serta kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan NGO dalam memberi sokongan moral dan kaunseling,” katanya.

Selain itu, JAKIM turut membangunkan Manual Hijrah Diri bagi pendekatan berhemah terhadap isu LGBT, serta menganjurkan Mahrajan Komuniti Hijrah, Kem Ibadah Nusantara, dan Kelas Usrah Iqra’ dan Kelas Bimbingan Al-Quran dan Fardhu ‘Ain.

“Inisiatif ini bertujuan melahirkan Komuniti Hijrah yang celik al-Quran,” katanya lagi.

Dr Muhd Na’im juga memberi jaminan berkenaan usaha ini akan terus diperkasa, bukan sahaja di peringkat kerajaan Persekutuan malah melalui kerjasama erat dengan agensi agama negeri, masjid dan institusi pendidikan.

“Kita mahu membina masyarakat yang bukan hanya bebas daripada kerosakan moral, tetapi juga kaya dengan kasih sayang, ilmu dan keinsafan.

“Doakan agar segala usaha ini diberkati Allah SWT dan semoga Malaysia terus terpelihara sebagai sebuah negara yang sejahtera dan diredai. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Suatu saranan yg positif yg memerlukan tanggungjawab semua pihak tetapi tugas dijalankan secara amanah tanpa niat tersembunyi, tanpa unsur ² penyalahgunaan kuasa..

Comments are closed.