PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas sikap segelintir tokoh politik lama yang lantang mengkritik kerajaan meskipun memiliki kekayaan berbilion ringgit.
Anwar turut mempersoalkan keikhlasan perjuangan tokoh-tokoh tersebut yang kononnya mahu membela nasib orang Melayu, sedangkan kekayaan yang dikumpul tidak disalurkan kembali kepada rakyat.
“Sebab itu saya tak heran di Alor Setar baru-baru ini, anak dia sendiri isytihar harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih RM1 bilion, keluarga pula ada RM4 bilion tapi dia (Tun Dr. Mahathir Mohamad) gagah nak lawan kerajaan sekarang, suruh kita turun.
“Nak perjuang untuk Melayu, silakan. Tapi kalau dah ada RM1 bilion, bagi baliklah,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera Tunas Madani dan Projek Perumahan JKPSB di Dewan Besar, Kampus UiTM Permatang Pauh di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut mempersoalkan tindakan Tun Dr. Mahathir yang masih campur tangan dalam politik negara selepas hampir 24 tahun memerintah.
“Tun Mahathir jaga negara 22 tahun, tambah lagi dua tahun jadi 24 tahun. Melayu jadi macam ni siapa perintah? Hang (Tun Mahathir) jaga 24 tahun dah, duduk diam-diamlah. Harta dah banyak, duduk rumah pun tak tentu arah.
“Dia kata saya zalim, rakyat tak boleh bercakap. Tapi zaman dia dulu, ramai yang kena tangkap. Jadi aku bukan macam hang, zaman hang ramai kena tangkap,” katanya.
Anwar turut menyeru rakyat, terutamanya orang Melayu, agar melihat realiti politik dan ekonomi negara secara rasional dan tidak mudah terpengaruh dengan retorik lama.
“Malaysia ni negara paling stabil sekarang, pelabur pun yakin. Masalah kita warisi hutang, kalau tak bayar kita boleh bankrap. Kita kena fikir masa depan.
“Saya bukan nak sentimen kerana orang maki hamun saya setiap hari.. itu kerja mereka tapi apa yang saya terasa dan dukacita orang kita pun percaya takkan tak boleh fikir (tohmahan),” katanya.
Media semalam melaporkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, menurunkan seorang Perdana Menteri tidak semestinya berlaku hanya menerusi pilihan raya apabila rakyat hilang kepercayaan terhadap kepimpinan negara.
Jelas beliau, ia juga boleh berlaku akibat desakan rakyat yang menolak kepimpinan Perdana Menteri yang dilihat gagal mentadbir dengan cekap. – MalaysiaGazette
















