KUALA LUMPUR – Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office) hari ini menafikan satu kenyataan yang tular di media sosial menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sambil menegaskan kandungan imej tersebut adalah palsu.
Dalam kenyataan rasmi, pihak Royal Press Office memaklumkan kenyataan yang tersebar itu tidak dikeluarkan oleh mana-mana saluran rasmi Istana atau Keluarga Diraja Johor.
“Royal Press Office ingin menegaskan bahawa kenyataan yang dipaparkan di dalam imej berkenaan adalah palsu,” kata kenyataan yang sama hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang maklumat yang disebarkan melalui akaun media sosial tidak sahih.
Pihak istana turut mengingatkan agar mana-mana pihak tidak menyalahgunakan nama dan imej Seri Paduka Baginda bagi tujuan penyebaran maklumat palsu yang boleh mengelirukan rakyat. -MalaysiaGazette
















