LONDON – Pemain Brentford, Bryan Mbeumo semakin hampir menyertai Manchester United apabila akan menjalani pemeriksaan perubatan sebelum menandatangani kontrak dengan kelab itu.
Pakar perpindahan antarabangsa, Fabrizio Romano berkata, Mbeumo akan melengkapkan langkah pertama di United hari ini dengan semua ujian perubatan sebelum kontrak ditetapkan untuk dimeterai.
Semalam, Brentford menerima tawaran kedua United selepas sebelum ini meletakkan tawaran 62.5 juta pound (RM356.52 juta) iaitu jumlah sama dibayar kepada Wolves untuk Matheus Cunha yang ditolak pesaing Liga Perdana Inggeris itu hampir tiga minggu lalu.
Penyerang Cameroon itu masih perlu menjalani pemeriksaan kesihatan sekiranya persetujuan dicapai dengan Brentford, dan mungkin tidak sempat untuk beraksi pada perlawanan pra-musim pertama United menentang Leeds di Stockholm awal pagi ini.
Tetapi pemain 25 tahun itu masih boleh mengikuti jelajah pra-musim United ke Amerika Syarikat minggu depan.
Sekiranya dipersetujui Brentford, Mbeumo akan menjadi pemain ketiga ditandatangani United pada jendela perpindahan kali ini selepas Cunha dan pertahanan remaja sensasi, Diego Leon.
Mbeumo yang meledak 20 gol liga untuk The Bees musim lalu turut menarik minat Arsenal, Newcastle United, dan Tottenham yang dikendali bekas bos Brentford, Thomas Frank.
Ketumpulan jentera serangan adalah masalah utama United musim lalu dan kehadiran Mbeumo diharap mampu meletakkan kembali kelab itu dalam kelompok 10 teratas Liga Perdana Inggeris.
United hanya menjaringkan 44 gol liga musim lalu – jumlah kedua terendah untuk pasukan yang tidak berada dalam zon penyingkiran – rekod terburuk sejak divisyen itu dijenamakan semula pada tahun 1992.
Sejak menyertai Brentford pada tahun 2019, Mbeumo sudah meledak 70 gol dalam 242 perlawanan, termasuk 42 dalam 136 aksi Liga Perdana Inggeris. – Agensi
















