Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin

GEORGE TOWN – Seorang lelaki berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) mengalami kerugian RM523,350 selepas terpedaya dengan tawaran kerja tidak wujud melalui aplikasi WhatsApp.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa berusia 45 tahun yang bekerja sebagai pembuat kek dikatakan menerima mesej daripada seorang wanita tidak dikenali pada Disember tahun lalu.

Suspek menawarkan kerja menjual permainan kanak-kanak di TikTok dengan janji keuntungan 10 hingga 15 peratus.

“Mangsa bersetuju dan mula membuat bayaran bagi menampung kos barangan tempahan pelanggan. Sebanyak 41 transaksi dilakukan ke lima akaun bank berbeza melalui mesin deposit tunai (CDM) dari 18 Disember hingga Isnin lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Alwi, bagaimanapun, tiada keuntungan diterima mangsa dan suspek terus meminta bayaran tambahan menyebabkan mangsa menyedari dirinya ditipu.

Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, kita nasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan tawaran pekerjaan daripada individu tidak dikenali dan menyemak terlebih dahulu dengan agensi berkaitan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast