Mohd Nai'm selepas perasmian penutupan Program Muzakarah Umara’ dan Ulama Pondok (UMRAN) 2025 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA –  Ulamak pondok perlu diberi peranan lebih besar dalam membentuk dasar negara dan pembangunan masyarakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Menurut beliau, peranan ulamak dan para guru pondok perlu diperluaskan ke dalam jawatankuasa syura, perbincangan dasar serta wadah kenegaraan lain sejajar dengan keupayaan mereka sebagai suara keadilan, perpaduan dan kebajikan.

Dalam masa yang sama, institusi pondok tidak wajar terus dilihat sebagai konservatif sebaliknya harus menjadi pelengkap kepada ekosistem pendidikan dan kenegaraan.

“Mereka adalah teras utama kepada pembinaan Malaysia Madani. Hari ini, pondok tidak boleh kekal sebagai institusi kampung semata-mata. Ia mesti naik ke pentas kenegaraan dengan pendekatan baharu, tanpa meninggalkan roh asalnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian penutupan Program Muzakarah Umara’ dan Ulama Pondok (UMRAN) 2025 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu dihadiri seramai 200 tokoh guru-guru pondok dan cendikiawan daripada  99 pondok seluruh negara.

Bagi memperkasa institusi pondok agar terus relevan dalam mendepani cabaran semasa, Mohd Na’im menyarankan beberapa langkah pembaharuan dilaksanakan segera.

Antaranya  meningkatkan kefahaman guru pondok terhadap wacana ilmu semasa dan isu global, mendedahkan pelajar pondok kepada teknologi, bahasa asing dan asas pentadbiran serta memperkukuh aspek keselamatan, keselesaan dan jaringan kerjasama antara institusi pondok.

Dalam hal ini, katanya, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah mula menggerakkan pelbagai inisiatif sebagai usaha merealisasikan pembaharuan berkenaan.

“Antaranya termasuk Sama‘ Hadis Sahih Bukhari Kebangsaan, Majlis Guru-Guru Pondok, Modul Pondok Akademi Daie Muda dan Pelatih Pondok Daie Muda – yang diasaskan untuk melahirkan pendakwah seimbang antara nas dan waqi,” katanya lagi.

Sementara itu, ketika sidang media, Mohd Na’im berkata, golongan ulamak dan guru pondok juga berperanan penting dalam memberi membanteras gejala sosial yang semakin berleluasa.

“Kehadiran guru pondok hari ini sebab prihatin bantu kerajaan menyelesaikan isu-isu tertentu dalam negara termasuk gejala sosial,” tambah beliau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast