Firdaus Wong.

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Firdaus Wong berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap mana-mana individu yang membuat laporan atau kandungan media sosial (konten) palsu sebagai pengajaran kepada pihak lain.

Beliau yang juga pempengaruh media sosial berkata, masyarakat yang cerdik juga perlu memulaukan mereka yang suka membuat kandungan media sosial murahan dan tidak bermoral.

Katanya, tidak semua individu yang mempunyai pengikut yang ramai khususnya di media sosial merupakan ikon positif.

Sebaliknya, ujar beliau, ramai sebenarnya hanyalah ‘content creator’ yang mencipta kandungan media sosial demi menarik tontonan dan populariti semata-mata tanpa menjadikan baik atu buruk kandungan itu sebagai kayu ukur.

“Yang penting, ramai tengok konten mereka.

Maka lahirlah ramai yang buat pelbagai konten sehingga konten suami isteri bergaduh, bagi hadiah, bagi bantuan, diculik, semuanya demi konten.

“Mungkin ada yang tertanya, “Kenapa mereka buat konten tak bermoral & murahan?”

“Jawapannya mudah, kerana ramai yang suka.

“Kenapa ramai suka konten sebegitu? Kerana konten sebegitu tak perlu berfikir maka mental tak penat,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.

Sementara itu, Firdaus Wong turut membandingkan individu yang membawa nilai positif dalam masyarakat menerusi kandungan media sosial seperti usahawan Khairul Aming sebagai pempengaruh, manakala yang membawa nilai negatif sebagai `pempengeruh’.

“Ada dua jenis pengaruh iaitu pengaruh positif atau pengaruh negatif. Begitu juga untuk pempengaruh.

“Pempengaruh atau pempengeruh? Anda pilih…,” katanya.

Semalam, media melaporkan, seorang pempengaruh permotoran yang sebelum ini dilaporkan hilang rupa-rupanya terlibat dalam perancangan membuat laporan polis palsu bersama adiknya bagi mengaburi pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, hasil siasatan mendapati individu dikenali sebagai Ija Nizaruddin telah menenggelamkan kereta milik isterinya di Sungai Tui, Lenga, di sini, sebelum melarikan diri ke negara jiran. – MalaysiaGazette

Pempengaruh akhirnya serah diri di balai polis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast