Dr. Noor Azuan Abu Osman telah mengadakan pertemuan bersama Presiden University of Tokyo, Profesor Fujii Teruo, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR– Universiti Malaya (UM) dan University of Tokyo telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersejarah yang membentuk satu kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan, inovasi, dan pembangunan modal insan. Usaha sama ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Jepun, malah menyumbang secara signifikan ke arah integrasi pendidikan tinggi ASEAN–Jepun dan kemajuan serantau.

Dalam rangka lawatan rasmi ke Tokyo, Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman telah mengadakan pertemuan bersama Presiden University of Tokyo, Profesor Fujii Teruo bagi merangka agenda masa depan yang menumpukan kepada kerjasama penyelidikan dan pembangunan bakat.

Bidang tumpuan utama merangkumi ekonomi digital, peralihan tenaga hijau, kecerdasan buatan, robotik, keselamatan makanan dan rantaian bekalan, serta inovasi semikonduktor.

Antara komponen utama kerjasama ini termasuklah inisiatif mobiliti pelajar, program pascasiswazah bersama, dan projek penyelidikan kolaboratif yang disokong oleh geran padanan berjumlah sehingga AS$00,000.

Kedua-dua institusi juga sedang meneroka pelaksanaan program biasiswa berstruktur bagi melahirkan cendekiawan global yang kompetitif dan berorientasikan penyelidikan.

“Kerjasama ini turut melibatkan penubuhan pusat kecemerlangan bersama, pengukuhan jaringan akademik-industri, serta pembangunan platform kolaboratif untuk penglibatan dasar serantau. Gabungan kekuatan global University of Tokyo dalam bidang sains dan teknologi serta kepakaran serantau UM dalam transformasi digital, pembangunan mampan dan pemerkasaan modal insan menjadikan inisiatif ini amat strategik,” jelas Dr. Noor Azuan.

“Ini bukan sekadar kerjasama antara institusi, tetapi mencerminkan anjakan strategik dalam peranan pendidikan tinggi dalam membentuk masa depan negara dan rantau ASEAN. UM berbesar hati menjalin kerjasama bersama universiti terbaik Jepun dalam memacu inovasi serantau, memperkukuh dialog dasar, dan memperkasa pembangunan bakat global”.

Beliau turut menegaskan, masa depan daya saing Malaysia terletak pada keupayaan untuk bekerjasama, berinovasi dan menerajui perubahan. Kerjasama ini membuka ruang untuk UM memanfaatkan kemajuan teknologi terkini dari Jepun, di samping menonjolkan impak UM yang kian berkembang di Asia Tenggara dan Selatan Global.

Kerjasama ini turut diperkukuh menerusi penglibatan Yayasan UaiTED yang berperanan sebagai jambatan antara sektor akademik dan industri. Yayasan ini akan menyokong pertukaran bakat, pembangunan kemahiran global, serta membina kerjasama tiga sektor melibatkan UM, University of Tokyo dan pihak industri.

Naib Canselor juga menambah, dalam konteks Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dan Jepun yang semakin kukuh sebagai peneraju serantau, kerjasama antara dua institusi ini menjadi model tepat bagi kerjasama strategik yang berpaksikan inovasi dan ketahanan serantau.

“MoU ini mencerminkan keyakinan bersama masa depan Asia akan dibentuk melalui bilik kuliah, makmal, dan platform kerjasama. Kita sedang menyemai benih untuk impak jangka panjang yang akan memberi manfaat besar kepada pelajar, penyelidik, industri dan negara untuk generasi akan datang,” ujar Profesor Noor Azuan.

Perjanjian bersejarah ini bukan sahaja mencerminkan keutuhan hubungan Malaysia–Jepun yang berterusan, malah memperkukuh kedudukan UM sebagai peneraju dalam mengembangkan kerjasama akademik berimpak tinggi di seluruh rantau ASEAN dan Selatan Global. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast