Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bercakap pada sidang media selepas hadir ke Majlis Perasmian Kualu Lumpur Architecture Week 2025 di REXKL, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 20 JULAI 2025

KUALA LUMPUR – Semua ahli Parlimen diminta memberi sokongan sebulat suara Rang Undang-undang (RUU) Khidmat Masyarakat yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok bagi pesalah membuang sampah yang akan dikenakan perintah khidmat masyarakat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, selain itu, RUU itu juga akan mengenakan kompaun dan pesalah akan diberikan uniform berwarna hijau untuk melakukan kerja-kerja mencuci longkang dan tandas serta menyapu jalan selama 12 jam.

Menurut beliau, kementerian berharap undang-undang perintah khidmat masyarakat itu dapat dilaksanakan juga pada tahun ini kerana ia terbukti berkesan menjaga kebersihan sesebuah bandar raya dunia seperti di Sweden, Jepun dan Singapura.

“Esok petang saya akan bentangkan Rang Undang-undang Khidmat Masyarakat, siapa yang buang sampah akan dikenakan hukuman khidmat masyarakat selain daripada kompaun. Mereka akan diberikan uniform berwarna hijau oleh SWCorp supaya bantu pekerja bandar raya cuci longkang, sapu jalan dan cuci tandas selama 12 jam.

“Sesiapa yang gagal mematuhi hukuman khidmat masyarakat boleh dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret mengikut bidang kuasa mahkamah. Oleh kerana itu seperti saya tegaskan kebersihan adalah separuh daripada keimanan.

“Maka menjaga kebersihan adalah satu kewajipan kepada kita. Kita hendak pastikan bila pelancong datang, mereka lihat Malaysia adalah bersih dan indah, menawan, wangi dan bukannya kotor.

“Oleh itu kita minta kerjasama semua Ahli Parlimen sokong sebulat suara kerana undang-undang ini terbukti di negara-negara maju seperti di Sweden, Jepun dan Singapura. Ini adalah  masanya dan kita tidak boleh tunggu lagi. Kita akan pastikan undang-undang akan dikuatkuasa tahun ini juga.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Kuala Lumpur Architecture Week 2025 di sini hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming ketika hadir ke Majlis Perasmian Kualu Lumpur Architecture Week 2025 di REXKL, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 20 JULAI 2025

Awal tahun ini,  Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan cadangan melaksanakan perintah khidmat masyarakat hingga 12 jam bagi kesalahan pembuangan sampah kecil melalui beberapa pindaan akta yang berkaitan.

KPKT memaklumkan, ia melibatkan pindaan terhadap Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

“Menerusi pindaan tersebut, sekiranya gagal mematuhi perintah khidmat masyarakat orang yang disabitkan boleh dikenakan denda RM2,000 hingga RM10,000.

“Kuasa sedia ada di bawah akta yang berkaitan hanya memberi peruntukan denda RM500 hingga RM2,000 atau penjara setahun,” menurut KPKT dalam satu kenyataan.

Kementerian turut memaklumkan pelaksanaan perintah khidmat masyarakat tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran serta mendidik masyarakat supaya peka terhadap kebersihan dan tidak membuang sampah kecil di kawasan awam sewenang-wenangnya.

“KPKT turut mengadakan sesi taklimat khas mengenai cadangan tersebut kepada Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara di Parlimen bagi memberi penerangan mengenai pindaan dan penggubalan akta yang dicadangkan serta implikasinya,” menurut kenyataan sama. – MalaysiaGazette

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bergambar bersama peserta ketika hadir ke Majlis Perasmian Kualu Lumpur Architecture Week 2025 di REXKL, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 20 JULAI 2025

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast