KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani gagal mempertahankan kejuaraan Terbuka Jepun apabila mereka tewas di tangan pasangan sensasi Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae pada aksi final, sebentar tadi.
Kegagalan mengulangi gelaran juara tahun lalu turut menafikan peluang Sze Fei-Izzuddin untuk mencipta sejarah sebagai beregu lelaki pertama negara menjuarai Terbuka Jepun sebanyak dua kali.
Sepanjang sejarah penyertaan Malaysia, hanya empat beregu lelaki pernah merangkul kejuaraan di kejohanan ini – Datuk Razif Sidek-Datuk Seri Jalani Jalani Sidek (1986), Datuk Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (1998), Chan Chong Ming-Chew Choon Eng (2002) dan Sze Fei-Izzuddin pada edisi tahun lalu.
Sementara itu, dalam perlawanan di Gimnasium Metropolitan Tokyo, pasangan nombor satu dunia itu tewas straight set 16-21, 17-21 dalam tempoh 38 minit kepada beregu Korea yang kini sedang berada pada prestasi terbaik mereka.
Lebih memedihkan, kekalahan itu menyaksikan takhta ranking nombor satu dunia milik Sze Fei-Izzuddin dirampas Won Ho-Seung Jae dengan penuh bergaya.
Pasangan Korea itu sebelum ini sudah sah akan mengambil alih kedudukan mereka menjelang kemas kini ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Selasa ini hasil pencapaian mara ke suku akhir.
Sebagai juara, Won Ho-Seung Jae membawa pulang hadiah wang tunai AS$70,300 (RM298,500) manakala Sze Fei-Izzuddin meraih AS$33,250 (RM141,182).
Sebelum itu, kem Malaysia turut berduka selepas impian Pearly Tan-M Thinaah untuk mencipta sejarah muncul beregu wanita pertama Malaysia menjuarai Terbuka Jepun musnah apabila mereka sekali lagi dikecewakan pasangan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning di pentas final.
Pearly-Thinaah yang juga beregu ranking ketiga dunia gagal menyaingi kehebatan lawan mereka apabila tewas 15-21, 14-21 dalam tempoh 45 minit.
Siri kekalahan itu menyaksikan Pearly-Thinaah terus buntu menundukkan gandingan handal China berkenaan selepas turut tewas dalam empat pertemuan terakhir sebelum ini, termasuk di final Terbuka Indonesia bulan lalu.
Ini juga adalah gelaran naib juara ketiga buat Pearly-Thinaah musim ini selepas Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia, selain muncul juara di Terbuka Thailand pada Mei lalu.
Selaku naib juara, Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai AS$33,250 (RM141,182) manakala Sheng Shu-Tan Ning meraih AS$70,300 (RM298,500) selaku juara. – MalaysiaGazette















