Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sembilan kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat hari dengan Alor Gajah, Melaka mencatatkan bacaan tertinggi iaitu IPU-157 diikuti Seremban dengan bacaan IPU-155; dan Kemaman, Terengganu (IPU-153).

Temerloh, Balok Baru, Kuantan di Pahang masing-masing merekodkan IPU-152 begitu juga kawasan Johan Setia di Selangor (IPU-152).

Manakala kawasan Banting di Selangor mancatatkan IPU-135 dan Cheras, Kuala Lumpur (IPU-132).

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, kemerosotan kualiti udara di kebanyakan kawasan terlibat masih dipengaruhi jerebu rentas sempadan.

Selain itu, terdapat insiden kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah (TPS) Jerangau – Jabor, Mukim Sungai Karang, Kuantan, Pahang yang menyebabkan bacaan IPU tidak sihat di Balok Baru Kuantan dan Kemaman, Terengganu.

“Berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 20 Julai 2025, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, terdapat 40 titik panas (hotspot) dikesan di Sumatera, 64 titik panas (hotspot) dikesan di Kalimantan dan 19 titik panas (hotspot) dikesan di dalam negara iaitu 12 di Sabah, masing-masing 3 di Pahang dan Sarawak dan 1 di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASMC pada 21 Julai 2025 menunjukkan pergerakan angin yang bertiup ke arah barat daya dan terdapat lingkaran asap jerebu diperhatikan.

Keadaan kering dilaporkan di bahagian selatan Semenanjung Malaysia, bahagian Sumatera, Jawa, Kepulauan Sunda Kecil dan bahagian selatan Kalimantan. Titik panas terpencil dikesan di Sumatera, manakala beberapa titik panas dikesan di Semenanjung Malaysia, Kalimantan, Viet Nam dan Thailand.

“JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari masa ke semasa.

“Semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan- kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri serta mengambil langkah-langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” ujarnya lagi.

Sementara itu katanya, JAS melalui Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan akan mengambil tindakan sewajarnya melibatkan agensi-agensi berkaitan.

Ini termasuk kerjasama dengan NADMA yang akan NADMA akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah/negeri/pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam.

Selain itu, semua aktiviti di luar bilik darjah akan dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100 manakala sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200.

“Bagi tujuan ini, pihak sekolah, tadika dan taska dikehendaki sentiasa memantau bacaan IPU. Sekiranya trend bacaan menunjukkan peningkatan ke arah 200 persediaan perlu dilaksanakan untuk menutup sekolah, tadika dan taska yang berkenaan,” katanya.

JAS juga akan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai pada bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk merujuk bacaan terkini IPU yang tersedia setiap jam di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat url, https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar rasmi MyJAS EQMS di ‘Google Play’ atau ‘App Store’. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast