KUALA LUMPUR – Polis mengesan satu video palsu yang tular di media sosial dengan menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkaitan tawaran bantuan kewangan kepada rakyat untuk cubaan penipuan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, semakan mendapati kandungan video itu adalah palsu dan dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi kecerdesan buatan (AI).
“Polis telah mengesan video berdurasi 32 saat di aplikasi Tik Tok menerusi akaun @Datukzulkarnain77 memaparkan Sultan Ibrahim memberikan ucapan mengenai tawaran bantuan kepada rakyat.
“Selain turut menggesa individu yang mengalami masalah kewangan untuk menghubungi seorang individu bernama Datuk Zulkarnain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu katanya, satu laporan polis dibuka dan siasatan sedang dijalankan mengikut di bawah Seksye 419 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Justeru, polis menasihati orang ramai agar tidak terpedaya dengan kandungan video tersebut dan tidak menghubungi individu yang dinyatakan kerana ia cubaan menipu,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















