PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa kecewa kerana isu sistem kehakiman negara ini menjadikan tohmahan dan menimbulkan kontroversi yang sia-sia sepanjang minggu lalu hingga mencetuskan kegusaran di kalangan rakyat.
Perdana Menteri menjelaskan, dakwaan kononnya berlaku pertukaran nama calon terakhir jelas tidak berasas dan sengaja dipolitikkan hingga ada yang sanggup melakukan perarakan.
Padahal tegas beliau, cadangan nama Ketua Hakim Negara tidak pernah ditukar pada saat-saat akhir sedangkan ia dikemukakan dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong lebih awal.
Ujar beliau, nama hakim yang dikemukakan itu kekal dan tidak pernah berubah.
“Kononnya ada nama lain yang masuk, Datuk ini atau Tan Sri itu. Tapi sebenarnya tidak ada. Itu semua hanya spekulasi yang sengaja direka.
“Saya percaya ada juga pihak yang membocorkan maklumat dan menyebarkan cerita sebegini, tidak mengapalah itu kerja mereka. Tapi sekarang, bila sudah jelas, tak ada siapa bersuara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Julai Tahun 2025 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar menambah, beliau tidak mahu memberi kenyataan sejak awal kerana tidak boleh mendahului proses tersebut memandangkan perbincangan Majlis Raja-Raja berlangsung pada 15 dan 16 Julai lalu.
Namun katanya, sistem kehakiman digambarkan telah dirosakkan dan beliau dihentam kononnya perdana menteri tidak mahu menjawab dan memberi penjelasan.
“Mana mungkin saya boleh jawab ketika itu kerana prosesnya (pelantikan hakim) masih berjalan.
“Cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara perlu melalui peruntukan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan saranan daripada Perdana Menteri untuk diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, selepas dirunding bersama Majlis Raja-Raja.
“Nama calon telah saya kemukakan lebih awal, sebelum negara ‘riuh’. Kita hanya tunggu giliran Majlis Raja-Raja bermesyuarat. Sebelum itu, pelantikan-pelantikan lain seperti Hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan juga telah dikemukakan dua bulan atau dua bulan setengah lebih awal.
“Semuanya ikut proses. Tiada siapa boleh mendahului perkenan Tuanku dan rundingan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Perdana Menteri berkata, isu ini menjadi bukti bagaimana sesuatu perkara boleh diperbesar-besarkan sehingga seolah-olah kerajaan telah mengkhianati sistem atau menyalahgunakan kuasa.
Katanya, penjawat awam juga perlu faham proses sebenar pelantikan kehakiman agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah atau andaian yang tidak berasas.
“Inilah contoh bagaimana seluruh negara ‘riuh’ kononnya kerajaan melanggar prinsip pemerintahan, khianat dan menyalah guna kuasa. Padahal ia tidak berlaku.
“Alhamdulillah, akhirnya proses selesai dengan baik. Sekarang, yang maki saya minggu lepas pun diam. Ini pengajaran, jangan hukum dahulu. Sama seperti segelintir ustaz yang suka jatuh hukum tanpa mendengar penjelasan,” tegasnya.
Pelantikan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 dan hakim atasan lain telah memadamkan polemik, keluh kesah, fitnah dan tohmahan yang dihadapi kerajaan minggu lalu. – MalaysiaGazette
















