KUALA LUMPUR – Empat lokasi baharu di Pahang, Kuala Lumpur, Terengganu dan Melaka merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 8 pagi tadi.
Berdasarkan semakan menerusi laman Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS), empat lokasi tersebut ialah Temerloh, Cheras, Kemaman dan Bukit Rambai.
Setakat ini, sebanyak sembilan kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU melebihi 100 iaitu paras tidak sihat.
Alor Gajah, Melaka kekal sebagai kawasan paling terjejas dengan bacaan tertinggi 159, diikuti Nilai, Negeri Sembilan (158); Banting, Selangor (155); Johan Setia, Selangor (152) dan Putrajaya (123).
Sementara itu, empat kawasan baharu yang turut menyertai senarai tersebut ialah Temerloh, Pahang (156); Cheras, Kuala Lumpur (152); Kemaman, Terengganu (152); dan Bukit Rambai, Melaka (103).
Dalam masa sama, tiga kawasan dilaporkan mencatatkan bacaan IPU pada tahap baik, manakala 56 kawasan lain menunjukkan kualiti udara sederhana.
Fenomena jerebu tersebut dipercayai berpunca daripada kejadian jerebu rentas sempadan yang kini melanda beberapa negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, laporan terkini oleh ASEAN Specialized Meteorological Centre (ASMC) mengesan sebanyak 79 titik panas di kawasan Sumatera.
Menurut beliau, keadaan berjerebu di Malaysia berkemungkinan besar berpunca daripada tiupan angin barat daya yang membawa asap dari wilayah tersebut. – MalaysiaGazette















