KUALA LUMPUR – Sehingga kini, kerajaan tidak menerima permohonan perjanjian daripada Amerika Syarikat (AS) berkait pencalonan Nick Adams sebagai Duta AS ke Malaysia.
Jelas Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, kerajaan akan memberikan pandangan dan pertimbangan pencalonan tersebut seterusnya dibawa ke peringkat Kabinet untuk diputuskan.
“Soalan kepada Nick Adams itu kita belum terima lagi permohonan agreement daripada AS. Kita biar dahulu, kita tengok macam mana dan semestinya Kementerian Luar Negara, Wisma Putra akan memberikan pandangan dan pertimbangan untuk dibawa ke Kabinet akan memutuskannya.
“Kerana kita belum dapat (agreement), kita dengar cakap sahaja, nanti kita tolak orang kata, kita tidak minta pun. Nanti malu kita. Jangan kita malu, jangan kita hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan daripada Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai pendirian Kementerian Luar berkenaan pelantikan Adams yang terkenal dengan kontroversi, melawan perjuangan Palestin dan menyentuh isu-isu Islam sebagai duta AS ke Malaysia.
Tindakan Presiden AS, Donald Trump baru-baru ini yang mengumumkan Adams sebagai Duta Besar AS ke Malaysia yang baharu menimbulkan pelbagai reaksi.
Adams didakwa condong kepada ideologi politik ekstrem kanan serta retorik bersifat memecahbelahkan dilihat bercanggah dengan prinsip kemajmukan, toleransi dan solidariti yang menjadi asas perpaduan rakyat Malaysia.- MalaysiaGazette
















