KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemui rentung dalam kebakaran di sebuah unit kediaman di tingkat 10, Flat Hang Tuah di sini awal pagi tadi.

Komander Operasi Kanan, Penguasa Kanan Bomba Mohamad Riduan Akhyar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 2.54 pagi.

Susulan itu katanya, sepasukan 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian bersama satu jentera, satu unit Water Tanker (WT) dan tiga unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM).

“Sebaik tiba di lokasi pada jam 2.58 pagi, anggota bomba bertugas mendapati kebakaran melibatkan sebuah unit rumah di tingkat 10 dengan keluasan 20 x 20 kaki persegi.

“Semasa melakukan operasi pemadaman, seorang lelaki ditemukan maut dalam bilik air dan kemusnahan seratus peratus melibatkan unit rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, operasi pemadaman dijalankan pihak bomba  sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.10 pagi.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.35 pagi.

Tambah beliau, punca kebakaran masih dalam siasatan dan jumlah kerugian belum dapat dipastikan setakat ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast