SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) tidak pernah menyekat penganjuran karnival jualan sempena perayaan kebudayaan masyarakat India namun menetapkan garis panduan tertentu bagi mengawal penyertaan penganjur dan peniaga luar Pulau Pinang.

MBSP dalam satu kenyataan berkata, langkah kawalan diambil bagi melindungi kelangsungan serta kepentingan peniaga tempatan yang sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai saingan tidak seimbang daripada peniaga luar yang kerap mendominasi ruang perniagaan semasa penganjuran karnival kebudayaan dan keagamaan.

“MBSP telah menerima aduan berulang daripada persatuan peniaga tempatan, khususnya dari kalangan peniaga komuniti India, yang merasakan peluang perniagaan mereka semakin terhad akibat lambakan penganjur dan peniaga luar.

“Bagi menangani isu tersebut, MBSP telah menetapkan bahawa penyertaan peniaga dan penganjur luar negeri hanya dibenarkan dalam tempoh antara 1 April hingga 30 Jun setiap tahun.

“Polisi ini bertujuan memastikan keseimbangan antara peluang perniagaan peniaga luar dan perlindungan terhadap sumber pendapatan peniaga tempatan,” katanya hari ini.

MBSP turut menegaskan dasar tersebut bukan bersifat diskriminasi kaum atau menekan mana-mana komuniti.

“Sebaliknya, ia merupakan usaha untuk menjaga kebajikan dan memastikan peniaga tempatan terutamanya peniaga kecil dalam komuniti India di Pulau Pinang, terus berdaya saing dalam suasana ekonomi yang mencabar masa kini.

“Kita mengalu-alukan penganjuran program kebudayaan yang meraikan kepelbagaian dan keharmonian masyarakat, serta komited untuk memastikan setiap penganjuran berlangsung secara adil, tersusun dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat khususnya peniaga tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast