KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan 27 saksi susulan operasi terhadap sindiket penyeludupan besi buruk dan e-waste di lima negeri yang dipercayai membayar rasuah kepada penguat kuasa sehingga menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai eksport dipercayai mencecah lebih RM950 juta.
Menurut sumber, salah seorang suspek yang dipercayai telibat dalam kegiatan ini juga sudah dirakam percakapan hari ini dan sehingga kini tiada tangkapan dibuat.
“Sehingga kini, SPRM telah membekukan sebanyak 324 akaun perbankan iaitu 142 milik syarikat serta 182 milik individu yang melibatkan nilai hampir RM150 juta dengan nilai sitaan kira-kira RM183 juta.
“Secara keseluruhannya, nilai sitaan aset dan pembekuan akaun kini adalah sebanyak lebih RM332 juta,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin Ketika dihubungi mengesahkan mengenai maklumat berkenaan dan berkata SPRM masih mengenal pasti suspek-suspek yang terlibat dengan sindiket ini yang menyebabkan kerajaan menanggung kerugian cukai eksport lebih RM950 juta sejak enam tahun lalu.
Katanya, SPRM kini sedang meneliti sumber kewangan suspek serta syarikat yang disiasat menerusi kerjasama dengan agensi-agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Selain siasatan di bawah Seksyen 16 dan 18 Akta SPRM 2009 serta di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram oleh SPRM, siasatan juga dilakukan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 selain Akta Kastam 1967 oleh agensi-agensi yang terlibat dalam operasi ini,” katanya. -MalaysiaGazette
















