PADANG BESAR – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis bunga ganja bernilai RM690,000 ke negara ini menerusi sempadan Malaysia-Thailand di sini, hari ini.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, rampasan itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Kompeni C, Batalion 18 PGA, Pengkalan Hulu menerusi Op Taring Wawasan Kedah/Perlis di Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Pos BKC 7.
Jelasnya, maklumat awal diperoleh hasil pemantauan menerusi sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang mengesan pergerakan mencurigakan di kawasan tersebut.
“Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi mendapati terdapat satu guni warna-warni ditinggalkan berhampiran tembok keselamatan.

“Pemeriksaan ke atas guni itu membawa kepada penemuan dedaun kering disyaki bunga ganja seberat kira-kira 23 kilogram, dengan nilai anggaran RM690,000.
“Tiada tangkapan dibuat ketika operasi dijalankan dan guni berkenaan dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran melalui tembok keselamatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, dadah yang dirampas diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kita juga sedang mengesan individu atau sindiket yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah di kawasan Padang Besar,” katanya. – MalaysiaGazette















