KUALA LUMPUR – Malaysia masih berpeluang untuk mendapatkan pengurangan tarif timbal balik yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) sekiranya negara menunjukkan komitmen jelas terhadap kestabilan pasaran dan tadbir urus yang telus.
Pemerhati ekonomi, Dr. Razli Ramli berkata, Malaysia boleh menjadikan Indonesia sebagai contoh di mana mana negara itu berjaya mendapat pengurangan selepas mempamerkan kesediaan untuk mengimbangi hubungan dengan kuasa besar lain khususnya China.
Jelas beliau yang juga Setiausaha Agung Persatuan Senior Kewangan Islam, perkara itu dilakukan Indonesia menerusi dasar middle path tanpa dilihat mengancam kepentingan AS.
Malaysia boleh mencontohi pendekatan tersebut dengan meningkatkan dialog dua hala secara konsisten terutama dalam isu seperti rantaian bekalan semikonduktor dan tenaga boleh diperbaharui yang menjadi keutamaan AS.
Dalam masa sama, ujarnya, Malaysia juga perlu menonjolkan peranan sebagai neutral hub dalam ASEAN seperti yang dilakukan Indonesia melalui kerjasama Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan pelaburan infrastruktur bersama China yang tidak menjejaskan hubungan dengan AS.
“Pemimpin Malaysia perlu memiliki chemistry dengan rakan AS, seperti kemampuan berkomunikasi dalam naratif yang difahami Barat sebagai contoh bahasa perdagangan hijau atau keselamatan rantai bekalan.
“Presiden Indonesia, Prabowo Subianto misalnya berjaya menggunakan latar belakang ketenteraan untuk membina hubungan dengan Pentagon sambil menekankan kerjasama ekonomi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan kadar tarif timbal balik yang lebih tinggi kepada Malaysia iaitu sebanyak 25 peratus yang akan berkuat kuasa pada 1 Ogos depan.
Pada pengumuman tarif terbaharu itu, Indonesia turut dikenakan tarif sebanyak 32 peratus sebelum Trump mengurangkan kepada hanya 19 peratus, jauh lebih rendah berbanding dikenakan terhadap Malaysia.
Sementara itu, Razli berkata, Malaysia juga masih berpotensi untuk dipertimbangkam pengurangan tarif timbal balik oleh AS dengan memastikan kestabilan ekonomi domestik.
Sehubungan itu Malaysia perlu memperkukuhkan sektor berorientasikan eksportseperti elektrikal dan elektronik serta minyak sawit mampan dengan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang selari dengan permintaan AS.
Dalam masa sama, jelasnya, negara juga perlu mengurangkan kebergantungan kepada satu-satu pasaran seperti China melalui diversifikasi perdagangan, mirip strategi Vietnam yang meningkatkan eksport ke AS sebanyak 37.6 peratus selepas pengurangan tarif.
“AS juga mungkin lebih cenderung memberi kelonggaran jika Malaysia menunjukkan komitmen mengurangkan halangan birokrasi dan melindungi hak harta intelek, seperti insentif cukai untuk syarikat AS yang beroperasi di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, tambah beliau, Malaysia juga perlu mengelak daripada dilihat terlalu mesra terhadap BRICS apatah lagi Trump sendiri memberi tekanan untuk mengenakan tarif tambahan 10 peratus lagi kepada negara-negara yang menyokong gabungan ekonomi baharu tersebut.
Sebaliknya Malaysia boleh mencontohi Indonesia yang kekal sebagai rakan dagang utama AS tanpa menyertai blok tersebut, katanya.
“Malaysia juga boleh menggunakan ASEAN sebagai platform untuk memperkukuhkan suara kolektif ASEAN dalam APEC untuk mendesak AS mengkaji semula tarif sambil mengetengahkan sumbangan Malaysia kepada rantaian nilai global,” katanya. – MalaysiaGazette
















