MELAKA – Sebanyak 32 pasukan dari seluruh negara berentap dalam kejohanan Lawn Bowls Short Mat Triples Terbuka UTeM 2025 buat julung kalinya dianjurkan oleh Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini.
Pengarah Pusat Sukan UTeM, Siti Sarah Bujang berkata, ia merupakan sejarah yang tersendiri buat UTeM yang mana pertama kali menganjurkan kejohanan ini dan ia juga merupakan pertama kali diadakan di negeri Melaka yang melibatkan atlet normal dan para.
Jelasnya, pencapaian UTeM bukan hanya dalam aspek penganjuran namun turut berjaya menarik jumlah penyertaan yang ramai dari seluruh negara yang mengumpulkan ahli sukan Lawn Bowls tanahair untuk beraksi di pentas gelanggan peringkat kebangsaan ini.
“Kejohanan ini melibatkan 32 pasukan dari 6 buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka termasuk dua pasukan PARA yang mewakili Melaka dan Negeri Sembilan.
“Secara keseluruhan, seramai 128 orang peserta dan pegawai pasukan yang terlibat dalam kejohanan ini telah mempamerkan aksi terbaik mencurahkan pengalaman dan kemahiran masing-masing di Dewan Sukan Sukan UTeM,” ujarnya dalam kenyataan.
Terdahulu, beliau menyatakan kejohanan ini turut telah mencapai objektif utama untuk membudayakan sukan boling padang dalam kalangan komuniti.
“Pada masa yang sama ia berjaya memupuk amalan gaya hidup sihat dan cergas dalam kalangan peserta dari pelbagai lapisan masyarakat.” Katanya.
Mengulas tentang keputusan perlawanan johan berjaya telah berjaya memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM500, naib johan sebanyak RM300 manakala tempat ketiga pula menerima wang tunai sebanyak RM150.
Juara bagi kejohanan Lawn Bowls Short Mat Triples menjadi milik kepada TUah UTeM manakala naib johan disandang oleh The Jangs dari negeri Johor manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Putrajaya A dan PARA.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM yang merupakan institusi kecemerlangan ilmu turut sama menyemarakkan aktiviti sukan di negara ini termasuklah bertindak selaku penganjur bagi sukan ini yang menjadi pilihan masa kini.
“Dengan penganjuran sukan ini bukan hanya memberi impak langsung kepada UTeM malahan ini turut mengangkat nama negeri Melaka dalam arena ini, justeru diharapkan kejohanan ini akan diteruskan sebagai acara tahunan dan menjadi antara kejohanan berprestij di peringkat kebangsaan pada masa akan datang,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette




![Pic 4[1]](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/07/Pic-41-681x383.jpg)










