KUALA LUMPUR – Malaysia sekali lagi menggesa semua pemimpin dunia terutamanya pihak yang mempunyai pengaruh ke atas Israel supaya berani bertindak tegas untuk segera menghentikan krisis kemanusiaan di Gaza.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap kerajaan yang menjunjung undang-undang antarabangsa, setiap negara yang mendakwa menghargai nyawa manusia, mesti bersuara dalam satu nada.
“Tragedi yang sedang berlaku di Gaza adalah satu ujian terhadap kemanusiaan kita bersama.
“Seluruh keluarga sedang dibunuh. Kanak-kanak termasuk bayi telah terbunuh. Yang lain pula sedang menderita kelaparan.
“Penghinaan yang mengerikan terhadap nyawa dan maruah manusia ini mesti dihentikan kerana ia merupakan satu pencabulan terhadap nilai moral yang paling asas.
“Saya khususnya merayu kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, agar menggunakan pengaruh beliau untuk mendesak penghentian segera pembunuhan, menghentikan pengeboman secara melulu, dan memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang memerlukan tanpa sebarang halangan,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook beliau, malam ini.
Menurut Anwar, inilah saatnya untuk kepimpinan berteraskan moral agar mempertahankan nilai-nilai yang dilaungkan.
Tambahnya, Malaysia bersedia bekerjasama dengan semua negara sama ada dari Utara dan Selatan, Timur dan Barat demi meringankan penderitaan di Gaza dan mengembalikan prinsip asas kemanusiaan.
“Janganlah kita dikenang sebagai mereka yang hanya berdiam diri. Biarlah suara hati kita menjadi panduan — menjawab penderitaan dengan belas kasihan, dan mengejar keamanan demi kemanusiaan kita bersama.” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















