Inflasi Malaysia meningkat perlahan 1.1 peratus pada Jun 2025

KUALA LUMPUR – Inflasi Malaysia meningkat perlahan 1.1 peratus pada Jun 2025 dengan mata indeks mencatatkan 134.5 berbanding 133.0 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan perlahan ini turut ditunjukkan melalui penurunan dalam Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Pengeluaran Tempatan yang mencatatkan sebanyak negatif 3.6 peratus pada Mei 2025, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menurutnya, kumpulan makanan & minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 2.1 peratus pada Jun 2025, kadar yang sama direkodkan pada Mei 2025.

Subkumpulan makanan di luar rumah menunjukkan peningkatan lebih tinggi, 4.7 peratus berbanding 4.4 peratus pada bulan sebelumnya.

Bagaimanapun, penurunan makanan di rumah sebanyak negatif 0.4 peratus, sedikit sebanyak mengekang inflasi ini daripada meningkat lebih tinggi.

Selain itu, kumpulan pendidikan, 2.2 peratus; perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain, 1.7 peratus; insurans & perkhidmatan kewangan, 1.5 peratus dan minuman alkohol & tembakau, 0.6 peratus turut meningkat pada kadar yang sama direkodkan pada bulan sebelumnya.

Di samping itu, kumpulan restoran & perkhidmatan penginapan, 2.8 peratus; rekreasi, sukan & kebudayaan, 0.8 peratus; pengangkutan, 0.3 peratus dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah, 0.1 peratus mencatatkan peningkatan perlahan pada Jun 2025.

Sepuluh negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional, 1.1 peratus dengan Kelantan merekodkan peningkatan terendah sebanyak 0.2 peratus pada Jun 2025.

Tetapi lima negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Negeri Sembilan (1.6%), Selangor (1.6%), Johor (1.5%), Melaka (1.3%) dan Kuala Lumpur (1.2%).

Inflasi keseluruhan secara bulanan meningkat 0.1 peratus pada Jun 2025 berbanding Mei 2025.

Peningkatan ini didorong oleh penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan yang meningkat sebanyak 0.4 peratus.

Manakala, makanan & minuman, pengangkutan dan pendidikan masing-masing meningkat 0.2 peratus.

Selain itu, kedua-dua rekreasi, sukan & kebudayaan dan restoran & perkhidmatan penginapan meningkat 0.1 peratus pada Jun 2025.

Inflasi teras meningkat 1.8 peratus pada Jun 2025, kadar yang sama seperti bulan sebelumya didorong oleh penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan (4.2%); makanan & minuman (3.8%); restoran & perkhidmatan penginapan (2.8%); pengangkutan (2.3%) dan pendidikan (2.2%).

Bagi perbandingan inflasi dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.1%) lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (3.6%), Korea (2.2%), Indonesia (1.9%) dan Filipina (1.4%) tetapi kadar tersebut lebih tinggi berbanding China (0.1%) dan Thailand (-0.3%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast