KUALA LUMPUR – Seorang wartawan penyiasatan mendakwa, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low menggunakan pasport palsu Australia untuk mendaftar sebuah syarikat di United Kingdom (UK).
Tom Wright berkata, butiran dalam pasport palsu tersebut termasuk nama dan tarikh lahir telah digunakan untuk membuka syarikat yang dinamakan Wisdom Opensto Technology Service Enterprise Ltd.
Memetik laporan portal berita FMT, wartawan itu mendakwa, syarikat tersebut dikatakan telah didaftarkan pada 13 Mac dengan alamat pejabat berdaftar di Cardiff, South Glamorgan.
“Maklumat baharu sedang diterima berkaitan (mempunyai kaitan dengan Jho Low) syarikat-syarikat di Amerika Syarikat dan kemungkinan kaitan dengan Hong Kong,” kata Tom dalam satu hantaran di X, seperti yang dipetik portal berkenaan.
Perkara ini timbul beberapa hari lalu selepas Tom dan seorang lagi wartawan, Bradley Hope, mendakwa Jho Low menggunakan pasport palsu Australia atas nama ‘Constantinos Achilles Veis’ untuk menyembunyikan identitinya.
Kedua-duanya merupakan bekas wartawan Wall Street Journal yang mendedahkan banyak kisah awal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menulis bersama buku ‘Billion Dollar Whale’ berhubung skandal itu.
Mereka juga mendakwa Jho Low kini menetap di sebuah rumah agam di Green Hills, sebuah kawasan kejiranan mewah di Shanghai, China, berdasarkan bukti yang dikumpulkan daripada pelbagai sumber dan dokumen yang baru diperoleh. – MalaysiaGazette














