KEPALA BATAS – Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) merampas bahan mentah dan ubat tradisional tidak berdaftar bernilai RM5.2 juta dalam satu operasi khas bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 15 Julai lalu.
Pengarah JKNPP, Datuk Dr Fazilah Shaik Allaudin berkata, operasi tersebut dilakukan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) melibatkan serbuan ke atas enam premis sekitar Kepala Batas di sini, susulan disyaki terlibat dalam penjualan produk tradisional mengandungi racun berjadual tanpa pendaftaran sah.
“Antara rampasan yang dibuat termasuk 71,000 botol produk tradisional, lebih 500 bungkusan bahan mentah dan dua unit mesin.
“Tindakan diambil hasil aduan awam, selari dengan komitmen Kementerian Kesihatan (KKM) membanteras penjualan produk tidak berdaftar yang berisiko terhadap kesihatan pengguna,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, memiliki racun berjadual tanpa lesen adalah satu kesalahan di bawah Akta Racun 1952, yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan menjual produk tidak berdaftar, hukuman mengikut Akta Jualan Dadah 1952 memperuntukkan denda sehingga RM25,000 atau penjara tiga tahun bagi kesalahan pertama, dan sehingga RM50,000 atau penjara lima tahun bagi kesalahan berikutnya manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM100,000.
“Orang awam dinasihatkan menyemak status pendaftaran produk di laman web rasmi NPRA (www.npra.gov.my) dan menyalurkan aduan melalui portal SisPAA (moh.spab.gov.my) atau CPF berhampiran,” katanya. – MalaysiaGazette
















