KUALA LUMPUR – Antara 10 hingga 15 peratus tempat di sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tidak diisi akibat pertindihan tawaran kepada para pelajar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keadaan itu berlaku apabila pelajar berpotensi menerima lebih daripada satu tawaran penempatan tetapi hanya memilih satu institusi sahaja.
Akibatnya, tempat yang ditolak tidak sempat diisi semula, sekali gus menafikan peluang kepada pelajar lain yang juga layak.
“Soalan lazim yang timbul setiap tahun adalah mengenai berapa banyak tempat yang tidak diisi akibat pertindihan jawatan.
“Lazimnya, antara 10 hingga 15 peratus tempat kekal kosong,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan SBP dan MRSM di sini, hari ini.
Menurutnya, keadaan ini menyulitkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) kerana terpaksa menerima banyak rayuan daripada ibu bapa dan pelajar.
Namun, semakan lanjut sukar dibuat berikutan tiada penyelarasan data antara agensi.
“Bagi menangani isu ini, kerajaan akan melaksanakan satu sistem tunggal pengambilan bermula tahun hadapan bagi pelajar yang memohon kemasukan ke sekolah berasrama penuh dan MRSM.
“Langkah ini adalah satu penyelarasan penting yang telah kita putuskan secara muktamad. Saya anggap ini sebagai suatu langkah bersejarah untuk mewujudkan kesaksamaan dalam kemasukan pelajar,” tambahnya.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat hasil beberapa mesyuarat bersama antara KPM dan MARA, yang bersetuju keperluan satu sistem seragam untuk memastikan pengurusan lebih teratur, berfokus dan adil.
Beliau turut memberi jaminan dasar sedia ada akan dikekalkan, dengan 60 peratus pengambilan melibatkan pelajar daripada keluarga B40, serta keutamaan kepada pelajar dari luar bandar dan kawasan miskin bandar.
Sistem ini akan menggunakan platform dalam talian melalui Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) yang seragam antara KPM dan Mara.
Bagi pelajar sekolah swasta yang tidak tersenarai dalam Pangkalan Data Murid (APDM), permohonan tetap boleh dibuat melalui sistem MyMRSM.
“Saya penuh keyakinan penyelarasan saat ini merupakan suatu langkah ke hadapan untuk menyusun semula ekosistem pendidikan berasrama penuh agar lebih cekap, berintegriti dan memberi peluang saksama kepada semua anak-anak di negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette














