Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri tidak menolak kemungkinan pendirian dan kelantangan Malaysia yang membantah kekejaman Israel dan mempertahankan Gaza menjadi penyebab negara ini dijadikan sasaran kehadiran ejen Mossad.

Namun beliau menjelaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil langkah proaktif bagi mengenal pasti tindakan dan meningkatkan keupayaan keselamatan negara.

Ia termasuk tindakan menangkap rakyat yang bersekongkol dengan ejen antarabangsa itu.

“Badan perisik antarabangsa termasuk Mossad itu memang dikenal pasti. Taklimat terbaru diberi badan perisikan Malaysia.

“Memang mereka ambil berat betul soal ini terutama setelah terbukti bukan sahaja kehadiran mereka tetapi menggunakan pasangan suami isteri Melayu sebagai sama ada ejen atau pun yang bekerjasama dengan Mossad,” katanya.

Anwar berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai langkah kerajaan bagi mengelakkan kemasukan ejen Mossad ke negara ini.

Wan Ahmad Fayhsal turut mempersoalkan kegagalan fungsi penggunaan sistem pagar automatik (autogate) yang mencetuskan pelbagai reaksi baru-baru ini.

Bagaimanapun Perdana Menteri menjelaskan masalah tersebut sudah ditangani.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast