KUALA LUMPUR – Kerajaan dapat menjimatkan RM45 juta sebulan susulan pengurangan subsidi telur ayam sejak 1 Mei lalu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dalam masa yang sama ia memberi penjimatan sehingga RM135 juta untuk tempoh tiga bulan sebelum penamatan penuh dilaksanakan bermula 1 Ogos ini.
Hasil penjimatan itu akan dikembalikan kepada Perbendaharaan Negara, katanya.
“Seperti telah diumumkan kerajaan, subsidi telur ayam akan ditamatkan secara berfasa bermula dengan pengurangan kadar subsidi daripada 10 sen kepada lima sen sebiji telur berkuat kuasa mulai 1 Mei lalu hingga 31 Julai ini,” katanya di Dewan Rakyat, menjawab soalan Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad juga turut berkata, bekalan telur sehingga kini pada tahap yang stabil dan dijual pada harga berpatutan.
Jelasnya, pada Julai ini, anggaran pengeluaran telur ayam adalah sebanyak 1.75 bilion biji sebulan manakala keperluan penggunaan domestik dianggarkan 1.06 bilion biji.
“Ini menunjukkan lebihan pengeluaran sebanyak 0.69 bilion biji telur yang sebahagiannya akan digunakan bagi tujuan pasaran eksport,” jelasnya.
Tambah Mohamad, KPKM akan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi melaksanakan pemantauan rapi terhadap bekalan dan harga telur. – MalaysiaGazette
















