KUALA LUMPUR – Tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan tarif import sebanyak 25 peratus kepada semua produk dari Malaysia tidak akan mengubah pendirian dan kelantangan negara ini mengenai kekejaman Israel dan keadilan kepada Palestin termasuk Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan adalah tidak adil penetapan tarif yang tinggi oleh AS jika ia disebabkan oleh kelantangan negara mengecam tindakan genosid di Gaza.
Namun, katanya, Malaysia akan meneruskan rundingan dengan AS mengenai isu tarif.
“Kita masih ada waktu sehingga Ogos dan rundingan masih diteruskan, saya tidak mahu buat jangkaan awal… Dalam rundingan terakhir masih belum ada tanda-tanda (keputusan akhir) tapi dalam rundingan itu ada beberapa pertimbangan.
“Kita harap dan doa akan dapat diselesaikan dengan baik tapi apa pun kesan kita tidak akan ubah keputusan kita untuk bantah dalam isu (keganasan terhadap) Gaza, kita tidak akan ubah untuk bebas menyuarakan pandangan,” katanya ketika sesi Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) menerusi soalan tambahan bertanyakan adakah Malaysia akan mempertimbangkan rundingan akibat kesan tarif terhadap Malaysia.
Terdahulu Mohd Sany Hamzan (Amanah- Hulu Langat) juga meminta Perdana Menteri menyatakan apakah pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang Kerajaan dalam menghadapi ketegangan geopolitik di Timur Tengah khususnya dalam memastikan kepentingan Malaysia terus terpelihara.
Anwar seterusnya berkata, Malaysia secara konsisten menggunakan pelbagai platform antarabangsa untuk menyuarakan bantahan terhadap keganasan yang dilakukan oleh Israel.
“Daripada segi Malaysia tentu saya terbuka nasihat ahli-ahli Parlimen, apa lagi yang kita perlu lakukan adalah daripada segi kelantangan suara dan bantuan hampir semua (platform) kita sudah suarakan.
“Jadi kita perluaskan tapi tuntutan ini masih belum memberi kesan yang diharapkan, pembunuhan, keganasan masih diteruskan yang kita perlu lakukan kita sudah lakukan.
“Irael satu-satunya negara pengganas di dunia ini yang nampak melakukan jenayah genosid dan keganasan tanpa disekat kerana didokong AS,” ujarnya.
Dalam pada itu, jelas beliau, Malaysia akan meneruskan bantuan kemanusiaan apabila tiada lagi sekatan daripada Israel di sempadan-sempadan memasuki Gaza.
“Ada kumpulan pertama yang bolos masuk, yang kedua masih terhalang. Sekarang ini dari segi bantuan boleh diteruskan tapi lori masih tersangkut, ada beratus yang rosak.
“Inilah satu negara (Israel) yang kurang siuman ganasnya sampai tidak peduli kanak-kanak mati kelaparan, hilang nilai kemanusiaan… Percayalah sebaik laluan diizinkan kita akan tambah bantuan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette
















