KUALA LUMPUR – Tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menyita lori kerana membawa muatan berlebihan telah mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan pengusaha pengangkutan berkenaan.
Rata-rata mendakwa mendakwa pendekatan keras itu bakal menjerumuskan industri ke dalam krisis lebih besar.
Seorang pemilik syarikat pengangkutan treler yang juga Ketua Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Daniel Khoo menyifatkan tindakan menyita kenderaan sebagai tidak menyelesaikan masalah sebenar.
Sebaliknya, ia hanya memburukkan keadaan bagi pengusaha yang kini bergelut dalam iklim ekonomi yang mencabar pada era ini.
“Kami tidak menolak keperluan penguatkuasaan demi keselamatan jalan raya tetapi penyitaan lori bukan satu penyelesaian yang holistik. Ia hanya menyentuh simptom luaran bukan akar masalah sebenar yang membelenggu industri,” katanya dalam kenyataan.
Kata Daniel, setiap kali sebuah lori disita, ia bukan sekadar kehilangan aset sementara tetapi memberi kesan berantai yang mendalam.
Menurutnya, pemandu hilang punca pendapatan serta-merta, pinjaman kenderaan tetap perlu dibayar walaupun lori tidak dapat beroperasi dan lebih teruk kesannya terhadap syarikat kecil yang hanya bergantung pada satu atau dua lori berada di ambang penutupan.
Lebih membimbangkan, jelas beliau, tekanan kos dan ketidakseimbangan struktur industri yang memaksa ramai pengusaha membawa muatan melebihi had.
“Tambang pengangkutan yang terlalu rendah lazimnya ditetapkan oleh pengilang atau pemilik lombong, ia langsung tidak mencerminkan kos sebenar operasi. Dalam banyak kes, pemilik barangan pula mendesak supaya muatan dibawa secara berlebihan namun enggan bertanggungjawab terhadap sebarang risiko undang-undang.
“Akhirnya, pemandu dan pengusaha menjadi mangsa dalam sistem yang berat sebelah ini.Pengusaha lori bukan tamak. Mereka terpaksa memilih antara patuh undang-undang dan gulung tikar.
“Realitinya, ramai tiada pilihan melainkan mengambil risiko demi kelangsungan hidup,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pengangkutan dan JPJ menilai semula pendekatan sedia ada dan mengambil kira realiti lapangan.
Daniel turut mencadangkan satu platform perbincangan tetap diwujudkan antara kerajaan, pengusaha pengangkutan, pemilik lombong dan persatuan industri bagi mencari penyelesaian yang adil dan praktikal.
Beliau berkata, pelaksanaan kadar tambang minimum, khususnya bagi sektor yang melibatkan muatan berat seperti mineral adalah penting untuk memastikan pengusaha dapat beroperasi secara sah dan mampan.
Selain itu, tindakan penguatkuasaan juga seharusnya dilaksanakan secara bertahap contohnya, notis amaran bagi kesalahan pertama, bukan terus menyita kenderaan.
“Pengusaha lori kecil dan sederhana ini bukan penjenayah. Mereka adalah nadi penting kepada rantaian logistik negara. Keselamatan jalan raya sememangnya keutamaan, tetapi biarlah pendekatan penguatkuasaan tidak sampai menghancurkan ekonomi mikro dalam sektor pengangkutan.
“Kerajaan perlu segera mencari titik keseimbangan antara keselamatan dan kelangsungan industri, agar pengusaha tempatan terus mampu menyumbang kepada ekonomi negara tanpa dibebani tekanan dasar yang terlalu menghukum,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















