KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada susulan cuaca kering ketika ini yang berupaya meningkatkan risiko kebakaran dan jerebu.
Seri Paduka bertitah, keadaan itu juga berisiko menjejaskan kesihatan penduduk, khususnya golongan kanak-kanak, warga emas dan mereka yang menghidap masalah pernafasan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kesihatan diri serta memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari semasa ke semasa.
“Ini kerana keadaan cuaca panas dan kering boleh menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat,” titah Seri Paduka Baginda seperti yang dimuat naik di laman sosial Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Dalam masa sama, Seri Paduka Baginda turut menitahkan pihak berkuasa untuk terus mempertingkatkan rondaan jika terdapat aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menjejaskan kualiti udara negara.
Negara ketika ini sedang dilanda jerebu dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka susulan beberapa titik panas dikesan di Sumatera, Indonesia seperti dilaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
Berdasarkan rekod bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat pukul 12 tengah hari tadi, satu lokasi masih merekodkan bacaan tidak sihat iaitu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (106) manakala 65 lokasi pula mencatatkan bacaan sederhana. – MalaysiaGazette
















