KUALA LUMPUR – Negara-negara ASEAN disaran bekerjasama dalam menangani cabaran mendesak dalam sektor hartanah dan perumahan ke arah mewujudkan rantau yang lebih berdaya tahan, inklusif dan makmur.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, saranan itu itu dibuat selepas mengambil mengambil kira blok ini telah berubah menjadi salah satu rantau paling dinamik dan pesat berkembang di dunia.
Jelasnya, perkembangan memberangsangkan yang dinikmati ASEAN dipacu oleh visi bersama, perbandaran, pertumbuhan penduduk, kemajuan kolektif dan peningkatan kesalinghubungan serantau.
“Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Malaysia mengulangi komitmen merealisasikan visi berkenaan dengan menerajui inovasi, mempromosikan integrasi dan memastikan kesan yang bermakna di seluruh negara anggota.
“ASEAN sedang berubah menjadi sebuah pasaran tunggal yang berdaya tahan dan berdaya saing dengan sumber, keupayaan dan pelbagai tahap pembangunan dilihat sebagai aset bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucapa Majlis Perasmian Persidangan Hartanah Asean (AREC) 2025 dan Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Antarabangsa (ARCHIDEX) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Fadillah menambah, integrasi serantau berkenaan telah mempercepat pembangunan infrastruktur, khususnya dalam sektor hartanah dan pembangunan, serta memacu kemakmuran melalui peningkatan kesalinghubungan.
“Detik permulaan ini menandakan pelancaran platform serantau penting untuk menangani cabaran bersama dan merangka hala tuju ke hadapan dalam memperkukuh kerjasama dalam industri perumahan dan hartanah,” katanya.
Sementara itu beliau memberitahu, pertumbuhan pesat penduduk ASEAN memberi tekanan besar terhadap sektor perumahan, infrastruktur dan kemampanan.
Namun kata beliau, dalam cabaran itu, wujud peluang luar biasa bagi blok ini untuk memimpin dunia dalam membangunkan model hartanah yang pintar, inklusif dan peka terhadap iklim.
“Malaysia mengiktiraf cabaran yang semakin meningkat dalam menyesuaikan sektor hartanah dengan perubahan transformasi yang dipacu oleh inovasi teknologi, pertambahan penduduk dan tuntutan terhadap keadilan sosial.
“Kami percaya adalah semakin mendesak bagi negara anggota ASEAN untuk bersama-sama menangani isu-isu ini secara kolektif dan bermakna,” ujarnya.

Fadillah berkata, ASEAN sedang berubah menjadi sebuah pasaran tunggal yang berdaya tahan dan berdaya saing, di mana sumber, keupayaan dan pelbagai tahap pembangunan dilihat sebagai aset bersama.
“Penganjuran AREC 2025 yang menghimpunkan menteri perumahan, datuk bandar, pemaju terkemuka dan pakar kelestarian akan memberi tumpuan kepada amalan terbaik bagi membentuk ASEAN yang lebih inklusif, terhubung dan bersedia menghadapi masa depan melalui pendekatan inovatif dalam kehidupan bandar,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan kerjasama strategik Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) dan C.I.S Network AREC 2025 da ARCHIDEX 2025 bermula hari ini selama empat hari.
Bertemakan “The Real Estate Renaissance: Innovate, Integrate, Impact”, AREC 2025 merupakan inisiatif pertama seumpamanya di rantau ASEAN yang dianjurkansempena pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Persidangan ini menjadi wadah utama untuk membincangkan isu-isu perumahan serantau serta menggalakkan kerjasama rentas sektor dalam pembangunan hartanah dan bandar mampan. – MalaysiaGazette
















