KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) sedar tentang tempoh menunggu yang lama bagi pembedahan elektif di fasiliti perubatan awam.
Jelas Menterinya, Datuk Ser Dr Dzulkefly Ahmad, ketika ini, hampir 15,000 pesakit sedang menunggu untuk menjalani pembedahan elektif di hospital kerajaan.
Bagaimanapun tegas beliau, pembedahan kecemasan tetap dijalankan dengan segera bagi menjamin keselamatan pesakit.
“Seramai 9,233 pesakit kini berada dalam senarai menunggu untuk pembedahan katarak di 56 hospital kementerian di seluruh negara, dengan purata tempoh menunggu selama tiga bulan.
“Sementara itu, seramai 2,661 pesakit sedang menunggu prosedur berkaitan batu karang seperti percutaneous nephrolithotomy dan retrograde intrarenal surgery, dengan purata tempoh menunggu selama 11 bulan di 13 hospital yang mempunyai pakar tetap,” katanya hari ini.
Dr Dzulkefly berkata demikian menerusi jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) yang meminta KKM mendedahkan senarai menunggu bagi pembedahan serta purata tempoh menunggu.
Menurut beliau, ketika ini seramai 2,293 pesakit sedang menunggu pembedahan kardiotorasik utama seperti coronary artery bypass graft dan pembedahan injap jantung, dengan purata tempoh menunggu selama tujuh bulan.
Tambahnya, pembedahan kardiotorasik pediatrik pula menghadapi kelewatan yang lebih lama, dengan 603 kes elektif masih tertangguh dan purata tempoh menunggu selama 21 bulan.
Bagi menangani tempoh menunggu yang panjang, KKM menurut beliau telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk memperluaskan konsep hospital kluster.
Selain itu, KKM juga telah menempatkan pakar bedah di lebih banyak hospital yang tiada pakar tetap bagi memulakan perkhidmatan di samping berusaha menjalin kerjasama antara agensi serta perkongsian awam-swasta untuk mengurangkan tempoh menunggu pembedahan.
“Ini antara lain seperti penubuhan Pusat Pembedahan Katarak MAIWP-Hospital Selayang, hasil kerjasama antara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan kementerian.
“Begitu juga Program Perkhidmatan Kesihatan Secara Out-Sourcing sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan akses dan mempercepatkan pembedahan bagi pesakit yang memerlukan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















