Orang ramai menyaksikan pengumum khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 23 JULAI 2025

KUALA LUMPUR –  Pengumuman khas yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dianggap satu penghargaan luar biasa kepada seluruh rakyat.

Ia disifatkan sebagai cerminan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap kesejahteraan penduduk di negara ini.

Rata-rata yang ditemui MalaysiGazette menyambut baik pelbagai bentuk bantuan bersasar yang diumumkan sebagai langkah bermanfaat untuk rakyat dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Antaranya, penurunan harga minyak RON95 kepada RM1.99 seliter dan penangguhan kenaikan kadar tol yang memberikan kelegaan kepada pengguna terutama yang menggunakan kenderaan setiap hari.

Pekerja gig, Faridatonakma Zainal, 45, bercakap ketika ditemubual mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 23 JULAI 2025

Pekerja gig, Faridatoakma Zainal,45, berkata, daripada kesemua pengumuman itu ada kebaikannya buat rakyat namun ada juga yang tidak memberi impak sepenuhnya kepada golongan B40 susulan kos sara hidup yang masih tinggi ketika ini.

“Ada setengah yang saya tak puas hati sebab untuk B40 ini, biasa sahaja (pengumuman itu) dengan kos sara hidup tinggi ditambah gaji saya RM1,700 untuk bayar sewa rumah dan lain-lain, macam tol itu bukan semua selalu gunakan, kami akan fikir makan dulu.

“Untuk minyak itu, saya setuju sebab beri penjimatan bawah RM2, sekarang kerja e hailing saya perlu selalu ke sana sini dan isi minyak dua hari sekali lebih kurang RM500 hingga RM600, kalau penurunan macam ini anggaran RM300 atau lagi kurang,” katanya ketika ditemui hari ini.

Pekerja swasta, Mohd Aizuddin Akmal Saad, 40, bercakap ketika ditemubual mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 23 JULAI 2025

Turut senada, pekerja swasta, Mohd Aizuddin Akmal Saad, 40, yang berterima kasih kepada Perdana Menteri yang mendengar nadi rakyat dan memberi penjimatan ketara dalam perbelanjaan mingguannya.

“Saya menunggang motosikal setiap hari dengan purata harian isi minyak sekitar RM15, mungkin dengan penurunan ini dapat memberi penjimatan lebih kurang RM3. Walaupun tak banyak tapi ia memberi kesan ringankan perbelanjaan harian.

“Seperti yang diuar-uarkan di media sosial malam tadi, ternyata Anwar menepati janji beliau walaupun tak banyak sekurangnya ada penurunan dan kita harap dari segi peningkatan bantuan Sara Hidupd ditambah serta penurunan harga barangan mentah,” jelasnya.

Pekerja swasta, Tarmizi Ali, 65, bercakap ketika ditemubual mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 23 JULAI 2025

Pandangan sama turut dikongsi Tarmizi Ali, 65, pekerja swasta yang gembira dan menantikan sekian lama janji Perdana Menteri ditunaikan sejak kempen pilihan raya sebelum ini.

“Saya gembira dengan penurunan harga minyak itu sebab sejak Anwar ingin menjadi Perdana Menteri pernah cakap ‘kalau ini hari dia jadi PM, minyak akan turun’, jadi kami sebagai rakyat mengharap sangat supaya minyak itu turun.

“Alhamdulilah, saya ucapkan banyak-banyak terima kasih pada PM walaupun lambat ditunaikan akhirnya ditunaikan juga dan dengan penurunan ini saya dapat  jimat sebanyakRM50 ,” ujarnya berpuas hati.

Pekerja swasta, Muhammad Iqbal Fakhrul Faris, 28, bercakap ketika ditemubual mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 23 JULAI 2025

Sementara itu, bantuan tunai RM100 secara sekali beri (one-off)  itu juga membantu meringankan beban kos sara hidup dan pemberian Hari Kelepasan Am sempena Sambutan Hari Malaysia pada 15 September 2025 memberi kelegaan pada rakyat.

Bagi pekerja swasta, Muhammad Iqbal Fakhrul Faris, 28, insiatif berkenaan disifatkan relevan dan memberi manfaat kepada golongan yang amat memerlukan serta memberi penjimatan untuk perbelanjaan harian.

“Ini yang rakyat nak dengar walaupun banyak pihak kutuk tapi tiada apa pun, sekarang Perdana Menteri sudah buat kerja ditambah dengan pemberian RM100 bagi saya mungkin orang kata sikit tapi mereka yang betul-betul susah akan menghargainya sebab dapat tolong sebanyak mana yang boleh,” katanya.

Pelajar IPTA, Rhiana Khalizan, 19, bercakap ketika ditemubual mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 23 JULAI 2025

Manakala bagi Rhiana Khalizan, 19, pelajar universiti tempatan itu berkata, bantuan tersebut amat bermakna bagi mereka yang menanggung beban belajar dan ditambah kos perbelanjaan yang agak tinggi.

“Kita sambut baik pengumuman itu sebab bukan mudah nak dapat duit sekarang dan pemberian RM100 tersebut, saya dapat membeli keperluan yang penting untuk belajar serta beli makanan tambahan yang boleh dikongsi dengan rakan di tempat belajar.

“Macam kami, buku semua perlu beli sendiri termasuk nak cetak bahan belajar dan pakai banyak duit ditambah kos belanja makan pun agak mahal lebih RM10 untuk makan tengah hari sahaja tidak termasuk makan malam, sampai ada yang makan mi segera.

“Jadi dengan pemberian ini memang amat membantu sangat-sangat,” luahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast