LONDON – Manchester United mengesahkan Bryan Mbeumo telah berjaya ditandatangani dengan kontrak sehingga Jun 2030 dengan pilihan lanjutan selama setahun.
Pemain antarabangsa Cameroon itu telah menjaringkan 20 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris dia ia adalah jumlah keempat tertinggi dalam liga serta mencatat lapan bantuan gol.
Sejak Brentford dinaikkan ke Liga Perdana, pemain berusia 25 tahun itu telah mencatat purata 18 penglibatan gol setiap musim sekaligus menjadikannya satu pencapaian yang cukup mengagumkan.
Mbeumo berkata, sebaik sahaja dimaklumkan berkaitan menyertai United, dia tidak teragak-agak untuk merebut peluang tersebut kerana ini merupakan kelab impiannya iaitu pasukan yang jersinya dipakai sejak di waktu kecil lagi.
“Prinsip hidup saya adalah sentiasa menjadi lebih baik daripada semalam. Saya percaya bahawa saya mempunyai semangat dan keazaman untuk mencapai tahap yang lebih tinggi di sini menerusi bimbingan Ruben Amorim serta boleh beraksi bersama pemain-pemain bertaraf dunia.
“Saya turut dimaklumkan tentang suasana positif yang sedang diterapkan di kelab ini serta perancangan jangka panjang yang amat menarik.
“United merupakan sebuah kelab yang cukup besar, memiliki suasana stadium yang menakjubkan serta penyokong yang luar biasa. Kami semua bertekad untuk bersaing merebut kejuaraan-kejuaraan utama kelak,” katanya di dalam satu kenyataan di laman web kelab itu.
United turut mengesahkan Mbeumo secara rasminya akan menyarung jersi nombor 19 pada musim depan.
Nombor tersebut pernah dipakai oleh Dwight Yorke, Nicky Butt, Eric Djemba-Djemba, Marcus Rashford, Amad dan Raphael Varane. – Agensi
















