KUALA LUMPUR – Maxim dan Indrive diletakkan di bawah tempoh pemantauan selama tiga bulan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) selepas kedua-dua perkhidmatan ini dibenarkan beroperasi.
APAD berkata, tempoh itu bermula esok, 24 Julai 2025.
Pada 24 April 2025, APAD telah mengeluarkan Notis Pembatalan Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP) kepada Aist Malaysia Sdn. Bhd. (Maxim) dan ID Applications Sdn. Bhd. (Indrive) yang berkuatkuasa pada 24 Julai 2025.
Tindakan tersebut diambil selepas audit terhadap pemain-pemain utama pengendali e-hailing (EHO) ini didapati tidak mematuhi aspek keperluan Permit Kenderaan E-Hailing (EVP).
Berikutan tindakan tersebut, kedua-duanya telah membuat rayuan kepada Kementerian Pengangkutan dan kedua-dua EHO ini disyaratkan untuk mengambil
tindakan pembetulan sebelum 24 Julai 2025 bagi kelangsungan perkhidmatan masing-masing.
Menurutnya, Pada 11 Julai 2025, APAD telah melaksanakan semakan rawak ke atas pemandu Indrive serta Maxim dan mendapati semua pemandu yang disemak telah mempunyai EVP yang sah berdasarkan semakan silang dengan data rekod APAD.
“Tindakan tegas sepertimana di bawah Seksyen 12A (5) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] boleh dikenakan sekiranya mereka
didapati gagal mematuhi mana-mana syarat perkhidmatan yang telah ditetapkan.
“Bagi memastikan komitmen kedua-dua syarikat pengendali ini berterusan, wakil syarikat dikehendaki hadir ke lbu Pejabat APAD setiap bulan sepanjang tempoh pemantauan. Bilangan kehadiran bulanan tertakluk kepada keperluan APAD berdasarkan tahap pemantauan dan isu semasa.
“Sesi ini membolehkan APAD melaksanakan pemantauan secara ‘real-time’, di mana semakan rawak terhadap pemandu dilakukan melalui aplikasi InDrive dan Maxim,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















