KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang merupakan agensi peneraju perumahan mampu milik memperkenalkan projek kediaman baharu di tengah bandar raya Kuala Lumpur iaitu SkyAwani PRIMA Residences.
Menurut Menterinya, Nga Kor Ming, projek itu adalah manifestasi kepada pendekatan KPKT progresif dalam menyediakan kediaman berkualiti tinggi di lokasi strategik.
Beliau berkata, SkyAwani PRIMA Residences bukan sahaja memenuhi keperluan perumahan rakyat di bandar.
“Malah ia dibina dengan menekankan elemen kemampanan dan kualiti melalui pematuhan kepada standard Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan.
“Kerajaan yakin projek ini akan menjadi penanda aras baharu dalam landskap perumahan mampu milik di kawasan bandar, sekali gus membuka lebih banyak peluang pemilikan rumah kepada golongan M40 selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
“Saya telah dimaklumkan 400 lebih unit ditawarkan namun senarai menunggu melebihi 3,000 pembeli dan saya yakin selepas pelancaran hari ini, projek PR1MA akan habis dijual 100 peratus dan ini adalah rekod baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Hartanah ASEAN (AREC) 2025 dan Seni Bina Antarabangsa dan Reka Bentuk Dalaman Dan Pameran Bangunan (ARCHIDEX) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang melakukan enam cabutan daripada 492 unit kediaman bersama Kor Ming sebagai simbolik kepada sesi undian beraudit yang dilakukan PR1MA.
SkyAwani PRIMA Residences yang dibina di Brickfields merupakan projek usaha sama SkyWorld Development Berhad (SkyWorld) dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM192 juta.
Ia terletak berhampiran dengan pusat beli-belah Mid Valley Megamall, stesen LRT Bank Rakyat-Bangsar, Pantai Hospital Kuala Lumpur serta pelbagai kemudahan lain.
Projek ini merupakan kediaman jenis apartmen dengan tawaran harga jualan bermula daripada RM390,000 seunit dengan keluasan 900 kaki persegi. Setiap unitnya dilengkapi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air, dan satu bilik utiliti dengan susun atur praktikal.
Selain itu, pembangunan ini turut memiliki pelbagai kemudahan gaya hidup seperti kolam renang dewasa dan kanak-kanak, gimnasium, dewan serba guna, surau, bilik bacaan, taman permainan kanak-kanak, serta gelanggang bola keranjang.
Pada majlis sama, turut dilancarkan kempen jualan ‘Rumah PR1MA Kita’ iaitu inisiatif terkini oleh PR1MA yang memberi tumpuan kepada penawaran kediaman mampu milik dengan diskaun sehingga 25 peratus.
Selain itu, bagi 500 pembeli terawal yang menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA), PR1MA turut menawarkan pakej rumah pintar serta langganan Internet percuma selama setahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan & Anggota Perbadanan PR1MA, Datuk Seri Mohd Nazri Md. Shariff berkata, kempen yang melibatkan 23 projek kediaman PR1MA di seluruh negara.
Katanya, ia mencerminkan usaha berterusan kami dalam memperluaskan akses kepada kediaman mampu milik berkualiti khususnya kepada golongan M40 yang sering berdepan cabaran memiliki rumah di lokasi strategik.
“Kami amat mengalu-alukan rakyat Malaysia yang berkelayakan untuk segera merebut peluang ini kerana tempoh kempen adalah terhad iaitu dari 23 Julai hingga 31 Disember 2025 sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette
















