GEORGE TOWN – Empat lelaki termasuk seorang warga Vietnam ditahan bersama bunga ganja bernilai RM3.72 juta dalam dua serbuan berasingan di Bukit Mertajam dan Seberang Jaya dekat sini.
Kesemua suspek berusia antara 31 hingga 39 tahun itu diberkas oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang menerusi operasi selama dua hari bermula Selasa lalu.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan pertama membabitkan tangkapan tiga lelaki tempatan di sebuah bilik serta lobi hotel di Bukit Mertajam.
Jelas beliau, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan satu beg kanvas mengandungi sembilan paket daun kering mampat disyaki ganja seberat 9.2 kilogram dan lima paket plastik mengandungi bunga ganja seberat 4.2 kilogram.

Katanya, susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah inap desa di Seberang Jaya dan menahan seorang lelaki warga Vietnam yang disyaki bertindak sebagai transporter sindiket.
“Pemeriksaan lanjut di inap desa berkenaan menemui tiga bagasi besar mengandungi 111 bungkusan plastik lutsinar berisi bunga ganja dengan jumlah berat 98.7 kilogram.
“Siasatan mendapati lelaki Vietnam terbabit bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas berpangkalan di Thailand dan memasuki negara ini atas alasan urusan kerja.
“Bagaimanapun dia dipercayai telah dua kali membawa masuk bekalan dadah dari negara jiran dengan upah antara RM3,000 hingga RM5,000 bagi setiap penghantaran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.
Tambah Mohd Alwi, siasatan lanjut mendapati sindiket yang aktif sejak Mac itu menjadikan hotel tersebut sebagai lokasi transit sebelum dadah tersebut diagihkan untuk pasaran sekitar Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
“Ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah manakala semakan lanjut menunjukkan mereka mempunyai rekod jenayah dan dadah lampau.

“Kita turut menyita tiga kenderaan melibatkan Toyota Alphard yang disewa secara harian oleh lelaki Vietnam, Honda City, motosikal Yamaha Y16ZR serta wang tunai RM1,300 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
“Jumlah keseluruhan rampasan dadah serta sitaan harta mencecah RM3.93 juta dan kesemua suspek direman tujuh hari hingga 29 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette














