Muhamed Daniel Faizal didakwa atas tuduhan merompak di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Tindakan seorang lelaki memakai baju kadet polis ketika melakukan samun di sebuah kedai dobi layan diri minggu lalu membawa padah apabila dia dihadapkan atas pertuduhan merompak sebuah telefon bimbit milik seorang pelanggan di premis tersebut Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Muhamed Daniel Faizal Isnain, 27, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan rompakan dengan mengambil telefon bimbit jenis Vivo Y28S milik seorang lelaki berusia 37 tahun di sebuah kedai dobi 24 jam I Love Laundry di Kampung Melayu, Desa Mawar, Ayer Itam di sini pukul 2.21 pagi pada 20 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin.

Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, tertuduh memaklumkan dia masih bujang dan sedang menjalani rawatan penyakit HIV.

Juraidah tidak menjatuhkan hukuman dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pelantikan peguam serta serahan dokumen.

Difahamkan lelaki itu dilaporkan memakai baju kadet polis ketika kejadian bagi mengaburi mangsa kononnya dia merupakan anggota polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast