Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil maklum terhadap Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025 yang telah dibentangkan di Parlimen baru-baru ini khususnya berkaitan dengan isu-isu yang melibatkan kelemahan tatakelola dan potensi salah laku dalam agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

SPRM sentiasa menyokong pendedahan Ketua Audit Negara serta akan menjalankan penelitian secara menyeluruh terhadap laporan berkenaan termasuk mengambil tindakan susulan terhadap sebarang isu yang disyaki mempunyai unsur kesalahan jenayah di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan bukan hanya terhad kepada isu tatakelola semata-mata.

Sehubungan itu, SPRM akan berhubung dan bekerjasama rapat dengan Jabatan Audit Negara (JAN) bagi mendapatkan maklumat serta dokumen sokongan yang berkaitan untuk tujuan siasatan serta tindakan lanjut dengan kadar segera, katanya dalam kenyataan.

“SPRM sentiasa komited dalam memastikan setiap dakwaan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah ditangani secara tegas serta telus demi memastikan tadbir urus negara berada pada tahap tertinggi seterusnya mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi awam,” kata kenyataan yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast