PETALING JAYA – Kerajaan berjaya mencatatkan jumlah pelaburan lebih RM63 bilion menerusi Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang diperkenalkan pada tahun lalu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ia melibatkan pelaburan dengan sebanyak RM5 bilion daripada sumber domestik dan RM58 bilion daripada sumber asing.
“Antara projek penting termasuk pembungkusan termaju Carsem bagi kecekapan tenaga, kenderaan elektrik (EV), kesalinghubungan dan kecerdasan buatan (AI).
“Projek lain adalah produk semikonduktor NXP, kilang fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200mm terbesar di dunia yang dimiliki Infineon; mikrofon MEMS dan sensor Syntiant; serta pengilangan dan pengilangan semula papan litar bercetak oleh Plexus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Semikonduktor ASEAN (ASEMIS) di sini.

Mengulas lanjut, Anwar memberitahu pengembangan 10 syarikat semikonduktor disasarkan dengan perolehan lebih AS$1 bilion; dan 100 syarikat dengan perolehan lebih RM1 bilion.
Perdana Menteri berkata, Malaysia kini mempunyai sekurang-kurangnya 13 syarikat tempatan dalam rantaian nilai semikonduktor yang berpotensi menjadi peneraju industri di peringkat nasional.
“Sembilan daripadanya termasuk Carsem, Inari, Pentamaster, ViTrox dan Kelington, masing-masing dijangka menjana pendapatan lebih RM500 juta tahun ini.
“Empat lagi adalah syarikat reka bentuk dan pembangunan litar bersepadu (IC) yang mempunyai momentum kukuh seperti OppStar, SkyeChip, Infinecs dan Experior, dengan kesemuanya merekodkan pertumbuhan pendapatan tahunan lebih 25 peratus.
“Lima puluh tahun daripada sekarang, kita mahu Malaysia mengenang saat ini sebagai titik perubahan apabila negara mula membina syarikat teknologi Fortune 500 milik sendiri,” kata.
NSS dilancarkan pada Mei tahun lalu sebagai Inilah tanda komitmen Malaysia kepada pertumbuhan industri semikonduktor di negara yang menggariskan aspirasi yang berani serta sasaran yang jelas bagi membantu industri ini bergerak ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi.
Ianya juga memposisikan Malaysia sebagai hab neutral untuk meningkatkan daya tahan rantaian bekalan semikonduktor global di rantau Asia Tenggara.
Sejak pelancaran NSS itu, perang dagang antara Amerika Syarikat China yang ertukar menjadi ribut tarif global menjadikan NSS semakin relevan sebagai pelan hala tuju untuk masa depan industri ini. – MalaysiaGazette
















