KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak telah menahan dua pegawai badan berkanun di negeri itu kerana disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan bayaran kira-kira RM45,000 bagi satu program di sebuah daerah.
Menurut sumber, kedua-dua suspek telah ditahan di Pejabat SPRM Perak ketika hadir memberi keterangan.
“Suspek wanita berusia sekitar 40-an telah ditahan kira-kira 6.30 petang pada 22 Julai lalu dan susulan itu seorang suspek lelaki yang berusia lingkungan 30-an turut ditahan semalam kira-kira pukul 5 petang.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai bersubahat mengemukakan dokumen tuntutan palsu untuk kelulusan bayaran kira-kira RM45,000 bagi sebuah program dibawah badan berkanun tersebut sedangkan program tersebut tidak dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Beliau mengingatkan semua pihak khususnya ketua-ketua jabatan untuk memperkukuhkan sistem dan prosedur serta tatakelola di jabatan masing-masing dalam pengurusan kewangan bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan. – MalaysiaGazette
















