KUALA LUMPUR – Polis menembak mati dua lelaki warga asing disyaki dalang utama kumpulan samun bersenjata api dan pecah rumah sejak 2022 hingga menyebabkan kerugian lebih RM3 juta.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, kedua-dua suspek terbabit yang menaiki kereta Honda Civic dikesan di kawasan Taman Pertama, Cheras.
Menurutnya, kedua-dua suspek dikesan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Kontinjen Pahang yang melakukan tugasan cegah jenayah melalui Op Aman 6, jam 3.45 pagi tadi.
Ujar beliau, suspek bertindak agresif ketika pihak polis cuba memintas kereta mereka bagi tujuan pemeriksaan.
“Mereka (suspek) cuba melakukan halangan dengan melanggar kenderaan pasukan polis selain turut melepaskan tembakan ke arah polis sehingga memaksa tembakan balas dilepaskan bagi tujuan mempertahankan diri.
“Suspek kemudian disahkan mati di dalam kenderaan itu akibat terkena tembakan. Hasil pemeriksaan di dalam kereta membawa kepada penemuan dua pucuk senjata api Revolver dan Semi Auto, dadah dan peralatan yang digunakan suspek bagi melakukan jenayah samun dan pecah rumah,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Katanya, kereta dinaiki suspek terbabit adalah kenderaan yang dilaporkan hilang bersabit Subang Jaya Report pada 2023.
Fadil berkata, hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek adalah dalang kepada sebuah kumpulan samun bersenjata api dan pecah rumah yang dianggotai 15 warga asing.
“Selain menjadikan sasaran terhadap unit kediaman mewah seperti banglo, rumah tepi (corner lot) dan end lot di sekitar Lembah Klang, suspek turut aktif menyamun di Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.
“Kita juga percaya, kedua-dua suspek ini dalam perancangan untuk melakukan jenayah samun berdasarkan penemuan peralatan samun seperti pemotong besi, sarung tangan, sarung muka serta senjata api dan dadah,” katanya.
Beliau berkata, pada masa ini semua elemen JSJ di Kontinjen KL, Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan sudah digerakkan bagi memburu dan mengesan baki 13 lagi suspek.
Katanya, meskipun lebih 50 kes samun dan pecah rumah yang dikaitkan dengan kumpulan ini namun pihaknya percaya jumlah mangsa mungkin lebih daripada itu akibat mereka tidak membuat laporan polis.
“JSJ tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan jenayah kekerasan yang boleh menggusarkan masyarakat di negara ini dan akan memerangi mereka secara habis-habisan,” katanya.-MalaysiaGazette
















