Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Situasi jerebu di Malaysia semakin bertambah baik apabila hanya dua kawasan mencatatkan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat hari ini iaitu Johan Setia, Selangor dengan IPU-152 dan Kuching, Sarawak (IPU-111).

Jabatan Alam Sekitar dalam kenyataannya berkata, kemerosotan kualiti udara di kedua-dua kawasan terlibat masih dipengaruhi jerebu rentas sempadan.

Tiada kebakaran besar berlaku yang boleh menyebabkan jerebu setempat.

Katanya, berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre yang berpusat di Singapura pada 24 Julai 2025, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, terdapat 22 titik panas (hotspot) dikesan di Sumatera, 154 titik panas (hotspot) dikesan di Kalimantan dan 73 titik panas (hotspot) dikesan di dalam negara iaitu 16 di Sarawak dan 1 di Pahang.

Dalam pada itu katanya, sehingga jam 3 petang tadi, lima kawasan di negara ini mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik manakala 61 kawasan lagi berada di tahap sederhana.

Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASMC pada 25 Julai 2025 menunjukkan keadaan kering dan mendung diperhatikan di kebanyakan bahagian di Asia Tenggara, kecuali di bahagian tengah Sumatera dan Semenanjung Malaysia yang terdapat beberapa kawasan menerima hujan.

“Beberapa titik panas terpencil dikesan di Semenanjung Malaysia, Sarawak, Kalimantan dan Sumatera. Kepulan asap sederhana dikesan keluar dari kawasan panas di Sarawak,” katanya.

Tambah kenyataan itu, sehingga 24 Julai 2025, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melakukan 4,184 rondaan darat dan 645 penerbangan dron bagi memantau aktiviti pembakaran terbuka.

Dari segi tindakan penguatkuasaan pula JAS telah mengeluarkan 58 Notis Arahan, 27 tindakan mahkamah dan mengenakan 59 kompaun ke atas pihak-pihak yang didapati melakukan kesalahan berkaitan pembakaran terbuka sepanjang tahun 2025. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast