SHAH ALAM – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan dakwaan kelewatan daripada pihaknya menjadi punca isu sijil halal melibatkan kontrak katering bernilai RM25.64 juta di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM).
Sebaliknya, Ketua Pengarahnya Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, siasatan mendapati berlaku salah faham berhubung pegawai bertanggungjawab (PIC) dalam permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
“Individu yang dianggap sebagai PIC itu sebenarnya merupakan pegawai syarikat katering, bukan daripada Jakim.
“Beliau sedang bercuti bersalin dan syarikat telah mencalonkan pengganti. Bagaimanapun, individu pengganti perlu melalui latihan terlebih dahulu sebelum melaksanakan tugas sebagai Eksekutif Halal,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, Jakim telah mengadakan pertemuan dengan pihak hospital tersebut bagi mendapatkan maklumat lanjut serta memberi penerangan bagi mengelakkan kekeliruan dan memperkukuhkan kefahaman.
Jelasnya, pihaknya sentiasa memastikan prosedur SPHM dilaksanakan secara telus dan berintegriti mengikut piawaian yang ditetapkan.
“Pihak hospital juga memberi jaminan akan terus mematuhi semua prosedur pensijilan halal demi kemaslahatan ummah,” tambahnya.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 baru-baru ini melaporkan HCTM menganugerahkan kontrak katering bernilai RM25.64 juta kepada syarikat dinamakan sebagai 0267299-T yang tidak mempunyai sijil halal daripada Jakim.
Laporan itu turut memaklumkan bahawa syarikat berkenaan dianugerahkan kontrak bagi membekalkan makanan kepada pesakit hospital terbabit selama tiga tahun bermula Februari tahun lalu. – MalaysiaGazette
















