Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

KUALA LUMPUR – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu memaparkan iltizam kerajaan untuk menegakkan prinsip keadilan sosial, menjamin kesejahteraan rakyat dan mengangkat martabat golongan rentan.

Setiausaha Agung Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Azizuddin Ahmad berkata, ia selari dengan semangat Islam yang mengutamakan maqasid syariah serta nilai-nilai Madani.

“Wadah menyambut baik pencapaian ekonomi kian meyakinkan termasuk pertumbuhan KDNK, pengukuhan ringgit, peningkatan pelaburan dan pengiktirafan dunia kedudukan daya saing negara.

“Namun lebih penting, segala manfaat ini diterjemah secara nyata kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif.

“Antaranya peningkatan kadar gaji minimum kepada RM1,700; peluasan peluang pekerjaan, serta langkah memperkasa GLC dan GLIC dalam memastikan gaji kehidupan wajar dilaksanakan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Anwar menerusi pengumuman khas Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia pada Rabu antara lain mengumumkan bantuan tunai one-off RM100 kepada rakyat dewasa selain jaminan harga petrol turun kepada RM1.99 menjelang akhir September ini.

Turut diumumkan tambahan sebanyak RM300 juta bagi program Jualan Rahmah Madani serta tiada kenaikan tol sepanjang tahun ini.

Azizuddin juga berkata, usaha menoktahkan kemiskinan tegar yang dijelmakan menerusi pelancaran Sejahtera Madani turut menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam membela golongan paling terkesan.

“Wadah melihat semua langkah ini sebagai cerminan kepada nilai-nilai Islam dalam pentadbiran di mana keadilan (al-‘adl), belas ihsan (rahmah) dan tanggungjawab sosial (mas’uliyyah) menjadi tunjang.

“Dalam konteks ini, kerajaan telah menunjukkan keazaman untuk menjadikan rakyat sebagai pewaris pembangunan negara,” katanya.

Selain itu, katanya, Wadah menyambut baik pengumuman bantuan tunai RM100 secara one-off kepada semua warganegara dewasa bersempena Hari Kebangsaan, yang bakal memberi manfaat kepada 22 juta rakyat.

“Langkah ini bersifat inklusif, adil dan menzahirkan penghargaan kepada rakyat yang terus bersama kerajaan dalam proses reformasi. 

“Tambahan cuti umum sempena Hari Malaysia, peluasan Jualan Rahmah MADANI, penangguhan kenaikan tol, serta penstrukturan subsidi RON95 yang bakal menurunkan harga petrol kepada RM1.99 seliter juga jelas menunjukkan keutamaan rakyat didahulukan,” katanya.

Katanya lagi, Wadah menyeru seluruh rakyat agar menolak sebarang usaha pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengadu domba, memecah-belahkan masyarakat dan mengganggu usaha pembaharuan negara.

“Ketika kita berusaha membina masa depan yang lebih baik, perpaduan dan kesatuan ummah adalah kunci kejayaan bersama.

“Wadahmenaruh harapan besar agar Belanjawan Madani Keempat pada Oktober nanti terus menzahirkan semangat ta’awun istiqamah dalam reformasi.

“Malah iltizam membina negara yang adil dan sejahtera berpaksikan syariat Islam dan nilai kemanusiaan sejagat.

“Wadah menyeru seluruh warga Malaysia agar terus mendukung usaha reformasi ekonomi dan sosial yang dirangka di bawah kerangka Madani,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast