Dominic Lau

KUALA LUMPUR – Perbelanjaan yang berlebihan secara berterusan boleh menyebabkan kerajaan berisiko gagal capai sasaran Belanjawan 2025, sekali gus menjejaskan penarafan kredit negara.

Dengan itu, Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menasihatkan kerajaan supaya bertindak menghentikan segera corak perbelanjaan tersebut.

Katanya, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memasuki tahun namun beliau mendakwa situasi kewangan negara semakin membimbangkan.

Menurut beliau, jumlah pinjaman bersih kerajaan dalam tujuh bulan pertama tahun ini telah mencecah RM81.28 bilion, sekali gus melebihi had pinjaman RM80 bilion yang dirancang dalam Belanjawan 2025.

“Peningkatan hutang yang berterusan akan mengakibatkan rakyat terpaksa menanggung kos pinjaman yang lebih tinggi pada masa depan, hasil daripada pembaziran kerajaan Madani.

“Saya berpandangan bahawa kerajaan, khususnya Anwar selaku Menteri Kewangan, perlu tampil memberikan penjelasan.

“Kita baru akan memasuki bulan Ogos 2025, namun kerajaan sudah mencapai had pinjaman maksimum yang ditetapkan. Selain berhutang, apakah kerajaan mempunyai pelan pembayaran balik yang jelas?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan tersebut, beliau turut menyatakan bahawa berdasarkan trend semasa, jumlah hutang negara pada tahun ini pasti akan melepasi paras RM1.3 trilion, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

Malah, kadar hutang negara dijangka melebihi 64% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus melanggar had statutori yang ditetapkan oleh kerajaan sendiri.

Tambahnya, jika kerajaan berhasrat untuk terus berhutang dalam tempoh lima bulan akan datang dan masih mahu mematuhi belanjawan yang ditetapkan sendiri, maka kerajaan perlu terlebih dahulu melangsaikan lebihan pinjaman sebanyak RM1.28 bilion atau lebih, agar tidak melanggar had pinjaman yang ditetapkan.

Beliau turut menuntut kerajaan menjelaskan jumlah sebenar pembayaran balik hutang yang telah dibuat sejak November 2022, berbanding jumlah pinjaman baharu yang diambil dalam tempoh sama.

“Perdana Menteri pula dilihat lebih ghairah mengumumkan “bonus khas” RM100 kepada rakyat dan harga petrol baharu RM1.99 seliter tetapi memilih untuk tidak bertanggungjawab dalam menjelaskan dari mana datangnya dana untuk membiayai inisiatif tersebut.

“Kononnya untuk memahami keluhan rakyat dan membantu mereka menghadapi tekanan hidup, seolah-olah kerajaan ini prihatin.

“Namun hakikatnya, kerajaan terus berbelanja secara melulu demi dasar populis, hingga menyebabkan hutang negara melonjak.

“Akhirnya, hutang itu tetap perlu dibayar oleh rakyat,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast