Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menggesa kerajaan memberi perhatian serius isu kontroversi membabitkan Datuk Farhash Wafa Salvador bagi mengelakkan ia menjadi beban besar kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun percaya kepada komitmen Perdana Menteri dalam membanteras rasuah, namun kata Rafizi, usaha tersebut tidak akan membuahkan hasil jika dilihat tidak konsisten khususnya apabila membabitkan individu yang rapat dengan pimpinan kerajaan.

“Jika Perdana Menteri rasa pelik kenapa sambutan rakyat tidak segah usaha-usaha yang sedang dilakukan, ia bermakna ada perkara lain yang mungkin mencacatkan usaha-usaha itu di mata rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut bekas Menteri Ekonomi itu, rakyat masih belum yakin sepenuhnya dengan kempen antirasuah kerajaan, meskipun pelbagai inisiatif pentadbiran Madani telah dijalankan.

Rafizi merujuk kepada tuduhan terbaru melibatkan Farhash yang merupakan bekas pembantu politik Anwar berhubung skandal lesen penerokaan mineral di Sabah melibatkan kawasan seluas 70,000 hektar. Tuduhan itu disertakan dengan dokumen dan rakaman audio yang kini tersebar luas.

Rafizi berkata, sejak Anwar menjadi Perdana Menteri, Farhash tiba-tiba melonjak menjadi seorang niagawan yang ligat dan mula mempunyai kepentingan dari satu syarikat ke satu syarikat.

Ada syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan beliau, kemudiannya mendapat kontrak perolehan yang besar dari kerajaan.

“Jumlah sebenar kontrak-kontrak perolehan kerajaan yang dianugerahkan kepada syarikat-syarikat yang berkaitan dengan Farhash tidak diketahui umum,” katanya.

Namun, Rafizi berkata, pengaruh Farhash menjadi bualan rakyat di luar – baik rakyat biasa yang melihat kemewahan dan gaya hidupnya, sehinggalah golongan perniagaan yang berurusan dengan kerajaan dan dalam sektor korporat.

“Apabila perkara ini dibangkitkan sebelum ini, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim hanya memberi penafian. Penjelasan beliau ialah kegiatan perniagaan Farhash tidak ada kena mengena dengan beliau kerana Farhash bukan lagi setiausaha politik beliau.

“Saya memilih untuk bersangka baik ketika itu, walaupun saya tahu pengaruh Farhash dalam PKR dan sebahagian pentadbiran kerajaan itu benar-benar wujud,” katanya.

Rafizi percaya, tuduhan terbaharu mengenai lesen penerokaan mineral membabitkan Farhash tidak akan mati begitu sahaja.

“Pendedahan setakat ini disertakan dengan dokumen dan rakaman audio. Saya percaya lebih banyak maklumat akan menjadi pengetahuan umum selepas ini.

“Saya juga percaya ia bukan tuduhan terakhir yang membabitkan Farhash. Dari semasa ke semasa, ada saja kontroversi baru mengenai beliau yang akan menjadi bualan umum.

“Oleh itu, saya berharap YAB Perdana Menteri memandang perkara ini dengan serius,” katanya.

Rafizi berkata, lontroversi demi kontroversi yang ditimbulkan dan dikaitkan dengan Farhash perlu ditangani segera dan penafian mentah tidak lagi akan diterima oleh rakyat.

Katanya, maklumat-maklumat yang didedahkan setakat ini sudah cukup untuk membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan terhadap Farhash, seperti mana kertas siasatan dibuka terhadap tokoh-tokoh lain yang dituduh menjadi kaya secara tiba-tiba.

“Bila ada konsistensi sebegini, barulah lebih ramai rakyat yang lebih yakin dengan usaha kerajaan membanteras rasuah.

“Jika tidak, bukan sahaja usaha-usaha ini tidak membuahkan hasil yang dikehendaki dan diterjemahkan kepada kedudukan CPI negara yang lebih baik, saya khuatir beban Farhash ini akan mengheret PKR dan PH dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast